Beberapa penduduk telah menulis di media sosial untuk memohon risalah pengganti dari Yayasan Temasek bagi menebus oksimeter percuma yang diedarkannya, selepas terbuang risalah diterima menerusi pos.

Menurut mereka yang menulis di laman Facebook yayasan itu, mereka telah terbuang risalah diterima dan terlepas membaca arahan mendapatkan alat digital yang mengukur tahap oksigen dalam darah itu.

Risalah berkenaan, yang mengandungi beberapa arahan dalam empat bahasa, juga menarik perhatian pengguna supaya menyimpan risalah itu dengan oksimeter sebagai rujukan. Maklumat itu diberikan dalam bahasa Inggeris.

Dalam jawapannya kepada pengguna Facebook, Yayasan Temasek berkata ia tidak dapat menyediakan risalah lagi.

Risalah itu diedarkan menerusi kotak pos di antara 28 Jun dengan 3 Julai. Orang ramai boleh mengambil alat itu bermula 5 Julai hingga 5 Ogos di lebih 300 cawangan NTUC FairPrice, Sheng Siong, Giant, Cold Storage, Watsons, Unity dan Guardian.