SEKITAR 200 penduduk di kawasan tenggara telah meluangkan masa memungut sampah di pantai East Coast pada Sabtu (17 Sep), dengan tempat permulaan di RainTree Cove East Coast.
Malah, ada daripada mereka berkayak untuk mengambil sampah terapung di laut. Sempena Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa, Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East menganjurkan inisiatif membersihkan pantai itu buat julung kalinya. Kegiatan itu disertai pertumbuhan akar umbi GRC East Coast, GRC Marine Parade, SMC MacPherson, SMC Mountbatten, PAssion Wave @ East Coast dan Lembaga Taman Negara (NParks). Menghadiri acara itu sebagai pengendali bersama acara tersebut ialah Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan), Encik Tan Kiat How. Bercakap kepada media di acara itu, Encik Fahmi berkata: "Saya terharu dengan sokongan dan pelibatan penduduk serta ketua akar umbi yang berminat dengan kegiatan pembersihan pantai. "Acara ini bertujuan mendidik orang ramai mengenai krisis pencemaran, terutama pencemaran plastik."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg