Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenembak hendap wanita pertama SAF: Tugas tepati sasaran tidak kira jantina
Penembak hendap wanita pertama SAF: Tugas tepati sasaran tidak kira jantina
Di sebalik hamparan kehijauan terbentang luas di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA), Queensland, Australia, seorang individu berpakaian celoreng tentera meniarap di lapang sasar tembakan sambil mengacukan senapang ‘Accuracy International AX50’ ke arah sasaran yang jauh dari pemandangan mata kasar.
Dengan banjaran gunung menjulang di latar belakang di bawah langit yang sedikit mendung, beliau melepaskan tembakan sambil mengasah kemahiran menembak tepat yang diperlukan sebagai seorang penembak hendap semasa Latihan Wallaby (XWB) 2026.
Namun, siapa sangka di sebalik seragam itu adalah Sarjan Master (MSG) Chin Shi Lee, wanita pertama dan satu-satunya wanita dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang merupakan penembak hendap.
Ketika ditemui media di lapang sasar tembakan menggunakan peluru hidup di SWBTA pada 23 Oktober, wanita berusia 27 tahun itu berkata tugas seorang penembak hendap bukan sekadar menemui sasaran.
“Saya rasa satu salah tanggapan mengenai penembak hendap adalah mereka hanya fokus kepada menembak, tetapi sebenarnya bukan begitu.
“Kami juga melakukan pemerolehan sasaran jitu serta pengintaian untuk latihan misi kami yang lebih luas, dan saya rasa bagi kami, kami boleh terus memperbaiki diri dengan mengadakan latihan kami di sini dalam Latihan Wallaby,” ujar beliau.
MSG Shi Lee menyertai SAF sebagai anggota tetap pada 2019 dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.
Namun, beliau baru sahaja melayakkan diri sebagai penembak hendap selepas menamatkan Kursus Asas Penembak Hendap SAF selama tujuh minggu pada 2026, dan memegang peranan sebagai penembak hendap serta pembimbing selama kurang setahun.
Sebagai Pembimbing Kanan di Sayap Penembak Hendap, Sekolah Latihan Vokasional Infanteri (IVTS), MSG Shi Lee menjalani latihan bersama rakan seragam lelaki lain dan membimbing penembak hendap lain dalam mengasah kemahiran mereka.
Antara kemahiran yang diperlukan seorang penembak hendap termasuk navigasi, kemahiran menembak, peninjauan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Menurut MSG Shi Lee, jadual latihan juga boleh bermula seawal 4.30 pagi dan berakhir sehingga 10 malam, bergantung kepada keperluan.
Latihan dijalani termasuk fasa stalking, iaitu latihan pergerakan di lapangan yang memerlukan penembak hendap bergerak menghampiri sasaran tanpa dikesan.
“Saya rasa (stalking) paling mencabar kerana kami bukan sahaja perlu membawa beban berat yang bersamaan dengan kira-kira 70 peratus berat badan saya, malah perlu mempunyai kemahiran dan ketahanan mental untuk terus bertahan sepanjang latihan misi di luar yang berpanjangan,” kongsi MSG Shi Lee.
Bagi memastikan tahap kecergasan fizikal sentiasa terjaga, MSG Shi Lee berkata latihan fizikal merupakan sebahagian daripada rutin hariannya sebagai pembimbing, selain latihan biasa dan latihan bagi anggota daripada unit lain.
“Kami tetap menitikberatkan kecergasan fizikal. Itulah perkara pertama yang perlu dimiliki oleh seorang pembimbing.
“Jadi, kami menjalani latihan fizikal serta latihan biasa dalam rutin harian kami. Kami juga mengendalikan latihan bagi unit lain untuk memastikan anggota mereka cekap menjalankan tugas operasi,” jelas beliau.
Dengan keadaan muka bumi dan cuaca di Australia yang berlainan berbanding dengan Singapura, latihan itu turut memberi anggota tentera seperti MSG Shi Lee peluang menguji kemahiran dalam persekitaran yang berbeza.
Bagi wanita muda yang berminat menceburi bidang ketenteraan tetapi masih ragu-ragu terhadap kemampuan diri, MSG Shi Lee menggalakkan mereka agar mengenali potensi diri dan tidak takut untuk mencuba.
“Saya percaya setiap individu mempunyai kekuatan tersendiri. Jika mereka berminat, mereka harus mencari maklumat lebih lanjut dan mengejar minat tersebut.
“Saya juga percaya bahawa SAF terbuka kepada semua kerana tugas dan tanggungjawab yang ada boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja, bukan sahaja terhad kepada lelaki atau wanita,” ujar beliau.