Seorang murid Darjah 6 yang dahulunya kerap bersikap kurang sopan terhadap guru kini dikenali sebagai antara pelajar yang penuh belas ihsan dan prihatin terhadap rakan dan guru di sekolahnya.
Perubahan itu berlaku setelah dia diberi peluang berbakti kepada warga emas di kawasan Yuhua menerusi daya usaha yang diperkenalkan gurunya, Cik Nurul Huda Juma’at, pada 2020.
Bagi beliau yang berusia 44 tahun, pengalaman yang melangkaui ruang bilik darjah seperti itu penting dalam memastikan pelajar menghayati nilai murni yang bakal membimbing mereka sepanjang hayat.
Atas dedikasi dan komitmen teguhnya terhadap pendidikan menyeluruh, guru Sekolah Rendah Fuhua, Cik Nurul Huda, menjadi salah seorang daripada lapan penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2025 di Hotel Fairmont pada 4 September.
Beliau, yang juga Ketua Jabatan Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan, merupakan antara dua guru Melayu yang menerima anugerah tersebut.
Seorang lagi penerima ialah Guru Kanan bahagian Seni di Sekolah Tinggi Holy Innocents, Encik Abdul Hadi Abdul Wahab.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang menekankan peranan pendidik dalam mencorak hati dan keperibadian generasi masa depan.
Dalam satu kenyataan Kementerian Pendidikan (MOE), Tuan Presiden berkata:
“Para pendidik kita mencorak hati dan minda yang akan membentuk masa depan kita. Setiap detik inspirasi meninggalkan kesan berkekalan.”
Secara keseluruhan, seramai 4,747 pendidik daripada 310 sekolah dan lapan institusi pendidikan posmenengah telah dicalonkan oleh pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, bekas pelajar dan pelajar bagi anugerah tersebut untuk 2025.
Kesemua pemenang dipilih oleh panel yang dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang juga Anggota Parlimen (AP) Pioneer, Encik Patrick Tay.
Beliau juga merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pendidikan.
Panel tersebut turut dianggotai wakil MOE, institusi pendidikan posmenengah, serta Masyarakat dan Ibu Bapa yang Menyokong Sekolah (Compass).
Penerima anugerah berpeluang menyertai program pembelajaran luar negara dan berkongsi pengalaman mereka dengan warga pendidik, manakala para finalis akan menerima geran untuk menghadiri persidangan, seminar atau kursus sama ada di luar negara atau tempatan.
Bagi Cik Nurul Huda, beliau menitikberatkan pembangunan jati diri murid agar bersikap hormat serta bertanggungjawab terhadap orang lain.
Prinsip itulah yang membimbing perjalanan Cik Nurul Huda yang telah menceburi bidang pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 2001.
Selain inisiatif kesukarelawanan dalam masyarakat, beliau turut berperanan membangunkan program ‘SIXER’ yang menghubungkan murid dari semua peringkat sepanjang enam tahun persekolahan mereka di Fuhua.
Program itu berjaya membina rangkaian sokongan rakan sebaya dan menanam semangat kekitaan, sehingga meraih pengiktirafan Anugerah Innergy MOE pada 2024.
“Matlamat saya ialah melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, bahkan juga berakhlak mulia dan bersikap penyayang,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa pendidikan juga merupakan tanggungjawab bersama.
“Apabila sekolah, ibu bapa dan masyarakat bergerak seiring, murid akan membesar dengan kefahaman yang konsisten tentang nilai yang penting,” ujarnya.
Menyifatkan anugerah itu sebagai dorongan, Cik Nurul Huda memberitahu Berita Harian (BH), dengan berkata:
“Dengan pengiktirafan melalui anugerah ini, saya diingatkan bahawa pendidikan sebenar adalah membimbing murid supaya menjadi insan yang berakhlak dan berperanan dalam masyarakat, bukan sekadar lulus peperiksaan.
“Saya gembira apabila melihat murid lebih berani menolong rakan mereka, tekun menghadapi cabaran, dan menghormati orang sekeliling. Itu tanda pendidikan yang berkesan,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg