Ayah Cik Elena Mohamed Ayob lebih memilih untuk melihat anaknya menjadi seorang guru, tetapi anak sulung dalam keluarga lima beradik itu memutuskan untuk mengejar impiannya menjadi seorang jururawat.
Walaupun jalan yang dipilihnya berbeza, ayah Cik Elena tetap menyokongnya dan menjadi tonggak kekuatannya sehingga beliau meninggal dunia pada 2023.
“Beliaulah yang menghantar saya pergi kerja atau menjemput saya dari syif tidak kira siang atau malam. Ketika saya berada di tahun ketiga kursus diploma lanjutan kejururawatan, saya berjaya menjadi antara pelajar terbaik kohort saya, dan beliau berasa sangat berbangga.
“Beliau juga menghadiri majlis penyampaian ijazah saya, dan saya percaya itulah detik perubahan yang paling ketara apabila beliau merestui pilihan saya menjadi jururawat.
“Arwah ayah menyedari betapa saya beriltizam dan meminati kerjaya ini. Sejak hari itu, saya dapat rasakan kebanggaannya, walaupun beliau tidak menyatakannya secara terbuka,” jelas Cik Elena, 45 tahun, Timbalan Pengarah Kejururawatan di Hospital Besar Singapura (SGH).
Sokongan yang diberikan ayah dan ibunya membantu Cik Elena cemerlang dalam bidang kejururawatan dan ini diiktiraf apabila beliau menjadi salah seorang daripada lima jururawat yang dianugerahkan Anugerah Presiden bagi Jururawat untuk 2024.
Beliau menerima anugerah itu daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam satu majlis khas di The Star Gallery, Star Vista pada 19 Julai.
Selepas 26 tahun berkhidmat dalam sektor tersebut, Cik Elena telah maju dari permulaannya sebagai jururawat staf pada 1998 kepada jawatan yang disandangnya sekarang.
Beliau dinaikkan pangkat sebanyak lapan kali sepanjang perkhidmatan di SGH – daripada jururawat staf (1998-2003); jururawat kanan (2003-2006); jururawat klinik (2006-2013); pengurus kanan jururawat (2013-2016); penolong pengarah kejururawatan (2016-2019); dan Timbalan Pengarah Kejururawatan (2019-kini).
Semasa ditemui Berita Harian (BH), Cik Elena, ibu tiga anak berkata pandemik Covid-19 yang melanda Singapura selama tiga tahun bermula 2020 begitu mencabar tetapi membuka banyak peluang baginya untuk memberi sumbangan kepada negara.
Antara tanggungjawabnya pada ketika itu adalah menyelia tenaga kejururawatan SGH, antara tugasan yang paling mencabar dalam bidang ini.
Dalam kenyataannya, SGH berkata Cik Elena berjaya mengurangkan kadar pemberhentian jururawat di hospital itu daripada 8.1 peratus kepada 6.7 peratus pada 2023.
Menurut beliau, pengalaman itu bukan sahaja menguji kemahiran kepimpinan Cik Elena tetapi beliau berkata ia memberinya peluang menimba pengalaman bertugas semasa krisis dan bersedia menjalankan tugasan yang berubah-ubah dari hari ke hari.
Suaminya, Encik Othman Abdul Rashid, 49 tahun, dan ibunya, Cik Norsiah Abu Kassim, 63 tahun, turut hadir di majlis anugerah.
“Saya tidak mahu berkata lebih tetapi saya akan ucapkan terima kasih kepada arwah ayah kerana beliau (dan ibu) berada di sisi sepanjang perjalanan saya dari zaman persekolahan sehingga sekarang,” luah Cik Elena dengan perasaan sebak.
Dengan air mata bergenang, Cik Norsiah berkata: “Alhamdulillah tercapai cita-citanya (Elena). Arwah pastinya sangat gembira dan bangga melihat anaknya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg