Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima bantuan Dana Pendidikan Harun Ghani sumbang kembali kepada masyarakat

Acara ‘Sew Excited to Quilt’ ingin ubah tanggapan negatif dalam diri penerima
Dec 23, 2023 | 9:01 PM
ATUR HASIL TANGAN: Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (empat dari kiri), dan Setiausaha kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), Cik Haslinda Putri Harun (tiga dari kiri), menyusun jahitan kuilt yang dihasilkan peserta dalam satu majlis tahunan HGEF pada 23 Disember.
ATUR HASIL TANGAN: Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (empat dari kiri), dan Setiausaha kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF), Cik Haslinda Putri Harun (tiga dari kiri), menyusun jahitan kuilt yang dihasilkan peserta dalam satu majlis tahunan HGEF pada 23 Disember. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Penting bagi penerima bantuan menyemai sifat menyumbang kembali, tidak kira sekecil mana sumbangan mereka, bagi membina masyarakat lebih kohesif.

Menurut Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, ini lebih-lebih lagi di sebalik sekitaran dan keadaan mencabar, yang memerlukan warga Singapura memainkan peranan dalam apa jua cara untuk membuat kehidupan lebih baik bagi satu sama lain.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas majlis penyampaian anugerah tahunan Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada 23 Disember.

Beliau hadir sebagai tetamu terhormat pada majlis itu, yang diadakan di Yayasan Mendaki di Kee Sun Avenue.

Dana pendidikan itu ditadbir Yayasan Mendaki dan diperkenalkan pada 2005 sebagai bantuan kewangan kepada pelajar Melayu/Islam yang memerlukan.

Kata beliau: “Acara hari ini bukan sahaja perihal penerimaan bantuan. Ia juga adalah berkenaan sumbangan dan penglibatan ke arah masyarakat yang lebih penyayang, bersatu padu, bersikap belas ihsan dan inklusif.

“Ia memaparkan bagaimana kita di Singapura boleh melihat kehidupan sebagai ekosistem holistik dengan memainkan peranan dalam apa jua cara untuk menjadikan kehidupan lebih baik bagi setiap warga (di sini).”

Acara kali ini dipanggil Sew Excited to Quilt yang menyaksikan lebih 100 peserta, sebahagian besarnya penerima sumbangan HGEF, menjahit kuilt bagi membentuk gebar besar.

Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menghasilkan cadar kuilt tampal cantum terbesar dalam Buku Rekod Singapura pada Julai 2024 sebagai sebahagian daripada ulang tahun ke-20 Projek Reben Kuning (YRP) pada 2024.

Setiausaha kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, berkata matlamat aktiviti yang diadakan semasa majlis itu adalah untuk menanam sifat menyumbang kembali dan mengubah tanggapan ‘mangsa keadaan’ dalam diri penerima.

“Para penerima ini rata-rata merupakan anak pesalah dadah atau bekas pesalah.

“Sebahagian besar daripada mereka membesar melihat ibu bapa atau keluarga mereka meminta dan menerima bantuan pada setiap masa.

“HGEF ingin pudarkan mentaliti ‘mangsa keadaan’ ini secara perlahan-lahan.

“Kami berharap dapat memperkenalkan dan menunjukkan kepada kanak-kanak ini bahawa dengan berkhidmat kepada orang lain, ia dapat menyuntik semangat dan memperkasakan kita,” ujarnya.

Bagi majlis tersebut, sekitar $23,000 telah diedarkan kepada 70 penerima – terdiri daripada pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan, kata Cik Haslinda.

Beliau menambah terdapat peningkatan pada jumlah penerima di peringkat politeknik, iaitu enam pada 2023 berbanding tiga pada 2022.

Jumlah yang diterima pelajar, kata beliau, berbeza bergantung pada peringkat pendidikan – pelajar sekolah rendah menerima $150, pelajar sekolah menengah meraih $200, manakala pelajar maktab rendah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) diberikan $250.

Di peringkat politeknik dan universiti pula, masing-masing menerima $1,500 dan $2,500.

Majlis tahunan itu memberi ganjaran kewangan kepada kanak-kanak pesalah atau bekas pesalah atas keazaman mereka untuk kekal di sekolah dan menamatkan tahun akademik.

Sejauh ini, HGEF telah memberikan sekitar $745,000 kepada 4,138 pelajar sebagai ganjaran wang tunai kerana kekal di sekolah masing-masing, ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg