Seberapa yang boleh diingati Cik Nur Rafidah, 19 tahun, ayahnya telah keluar masuk penjara akibat kesalahan dadah sejak beliau masih di sekolah rendah.
Keadaan itu bermakna ibunya terpaksa menggalas peranan sebagai kededua ibu dan ayah kepada beliau dan tiga adik-beradiknya yang lain, termasuk menjadi satu-satunya sumber pencarian keluarga.
Walau keluarga itu berdepan dengan cabaran kewangan, Cik Nur Rafidah, kini pelajar tahun ketiga di Politeknik Ngee Ann, berkata beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha mendakap masa depan yang lebih baik untuk keluarganya.
Cik Nur Rafidah, yang enggan nama penuhnya digunakan, sedang memburu diploma dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan mendamba terus mencapai pencapaian akademik lebih tinggi selepas itu.
Keadaan di rumah telah semakin baik, terutama kerana ayahnya tidak lagi melakukan kesalahan selepas dibebaskan dari penjara beberapa tahun lalu, tetapi cabaran masih ada, kata Cik Nur Rafidah.
Antaranya ialah ‘stigma’ atau kesan sejarah ayahnya sebagai pesalah dadah yang masih membelenggu beliau dan keluarganya.
“Ada orang yang masih membanding-bandingkan keluarga saya dengan keluarga orang lain... keadaan ini amat sukar bagi saya. Namun ia juga mendorong saya untuk memperbaiki keadaan hidup kami sekeluarga,” kata Cik Nur Rafidah.
Cik Nur Rafidah antara 120 penerima dermasiswa Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada 2024. Beliau menerima dermasiswa bernilai $1,500 yang boleh digunakan untuk membiayai keperluan sekolah.
Dermasiwa itu diberikan kepada penerima di majlis khas yang diadakan pada 28 Disember dalam satu majlis khas di Yayasan Mendaki.
Menurut Cik Nur Rafidah, dermasiswa itu amat bermakna baginya kerana ia menunjukkan ada pihak yang masih mengambil berat ke atas dirinya dan percaya dengan potensi yang ada pada darinya.
Seorang lagi penerima dermasiswa HGEF kali ini ialah Encik Danial Abdul Rahman, 21 tahun, pelajar tahun pertama jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Ngee Ann.
Beliau berkata dermasiswa itu akan membantu mengurangkan tekanan kewangan dan mendorongnya terus maju.
Encik Danial dan dua orang adik perempuannya dibesarkan ayah yang sering keluar masuk penjara kerana kesalahan dadah.
Namun, Encik Danial tekad untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk beliau dan adik-beradiknya. Beliau juga amat prihatin supaya beliau dan adik-beradik tidak mengikut jejak langkah ayahnya.
“Ayah seorang lelaki yang baik tetapi membuat pilihan yang buruk. Saya tidak mahu jadi sepertinya,” kongsinya.
Sejak ditubuhkan pada 2005, HGEF telah mengagihkan lebih $780,000 untuk menyokong lebih 3,000 kanak-kanak pesalah dadah yang dipenjarakan.
Sementara itu, tahun ini, HGEF telah bekerjasama dengan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk melengkapkan penerima dengan kemahiran praktikal menyelamatkan nyawa menerusi acara Saving Lives with HGEF yang diadakan sempena majlis penyampaian dermasiswa itu.
Antara lain, keluarga telah diajar memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), menggunakan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED), dan ilmu Kemahiran Pertolongan Kecemasan (IFAS).
Setiap keluarga juga menerima kit pertolongan kecemasan dan alat pemadam api untuk disimpan di rumah.
Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, berkata:
“Ramai kanak-kanak ini dijaga oleh penjaga warga emas. Mengajar mereka kemahiran menyelamatkan nyawa memperkasakan mereka untuk melindungi keluarga mereka. Hadiah kit pertolongan kecemasan dan alat pemadam api boleh memupuk budaya keselamatan dan tanggungjawab,” katanya lagi.
Menambah, Cik Haslinda berkata selain menekankan pencapaian akademik, HGEF juga memberi tumpuan kepada memupuk kemahiran hidup lain dalam kalangan kanak-kana yang menjadi benefisiarinya.
Ini termasuk menyediakan perkakas sekolah dan memperkenalkan mereka dengan aktiviti kreatif seperti membuat tembikar dan bermain muzik demi membina keyakinan diri dan meluaskan minda mereka.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang turut hadir berkata:
“Pendekatan holistik HGEF bukan sahaja dalam hal pendidikan malah juga daya tahan dan kesejahteraan masyarakat. Latihan menyelamatkan nyawa itu mencerminkan komitmen mereka untuk menyiapkan keluarga untuk terus berwaspada dan bersedia.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg