PENETAPAN penanda aras gaji baru dan perubahan lain yang dirancang, di samping satu pas kerja bakat baru yang akan diperkenalkan, bukan satu kelonggaran dalam dasar sedia ada, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semalam.
Dr Tan berkata demikian dalam kenyataan menteri di Parlimen di mana beliau menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) berhubung empat peningkatan khusus yang akan dibuat pada rangka kerja pas pekerjaan Singapura yang diumumkan bulan lalu.
Ini termasuk memperkenalkan Pas Rangkaian dan Kepakaran Luar Negara baru, dengan pemohon perlu meraih gaji bulanan tetap sebanyak $30,000 dan ke atas, setanding dengan 5 peratus pemegang Pas Pekerjaan (EP) teratas.
Pemerintah juga akan menawarkan pilihan EP lima tahun kepada karyawan berpengalaman bagi mengisi pekerjaan teknologi tertentu.
Perubahan dasar lain termasuk menetapkan satu kayu ukur tunggal bagi pemegang EP 10 peratus teratas.
Had gaji baru ditetapkan pada $22,500 dan akan bermula September tahun depan.
Ini akan menjejas pengiklanan bagi pekerjaan di bawah Rangka Kerja Pertimbangan Adil (FCF) dan Rangka Kerja Penilaian Pelengkap (Compass).
Buat masa ini, jika gaji bulanan bagi sesuatu pekerjaan itu $20,000 atau lebih, syarikat tidak perlu mengiklan di bawah FCF dan calon dikecualikan daripada syarat Compass. Ini akan disesuaikan kepada $22,500.
Dr Tan berkata peningkatan tersebut adalah "sangat disasarkan", yang bertujuan menarik bakat teratas dalam pelbagai bidang, dan karyawan teknologi berpengalaman dalam bidang yang kekurangan kemahiran.
"Mereka membina usaha kami untuk mempertingkatkan kesalinglengkapan dan kepelbagaian tenaga kerja asing kita.
"Peningkatan ini juga bertujuan membina kelebihan penggerak pertama dan daya saing mampan dalam bidang pertumbuhan baru untuk memastikan kita berada di hadapan dalam persaingan," kata beliau.
Dr Tan berkata penanda aras gaji baru, dengan had lebih tinggi bagi pengecualian pada $22,500, bertujuan menetapkan penanda aras yang lebih jelas bagi skim sedia ada.
Ini akan membolehkan perniagaan meramalkan pengemaskinian pada masa depan, dan memastikan rangka kerja aliran utama terus meliputi sebahagian besar permohonan EP, walaupun gaji meningkat, tambah Dr Tan.
Menjawab soalan Encik Pritam Singh (GRC Aljunied) mengenai rasional mengecualikan pemegang EP 10 peratus teratas daripada kriteria pengiklanan pekerjaan FCF dan Compass, Dr Tan berkata bagi peranan sedemikian, syarikat sudah pun mempunyai proses pemilihan ketat untuk mencari calon yang sesuai.
"Ia juga berkemungkinan besar pencari eksekutif atau firma carian akan memainkan peranan untuk mengisi pekerjaan ini, dan bukan sesuatu yang lazim bagi peranan ini diisi melalui iklan di laman kerja seperti MyCareersFuture.sg sahaja.
"Individu yang mengisi peranan ini juga akan tiada masalah lulus kriteria Compass berdasarkan kaliber mereka," kata beliau.
Mengenai pilihan EP lima tahun bagi karyawan teknologi berpengalaman pula, Dr Tan berkata buat masa ini, pemerintah telah mengehadkan EP itu bagi peranan teknologi di mana terdapat kekurangan bakat di seluruh dunia.
Namun, sektor lain juga mungkin boleh meraih manfaat pada masa depan, memandangkan hampir semua sektor memerlukan bakat teknologi memacu transformasi, tambah Dr Tan.
"Ini termasuk khidmat kewangan dan industri pembuatan, serta sektor kemampanan yang baru. Kami sedang memantau ruang kemampanan dengan teliti sedang ia berkembang, dan akan memperhalusi dasar kita apabila perlu," kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg