Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengakap, Pandu Puteri cemerlang terima anugerah daripada Presiden Tharman

Dec 3, 2024 | 1:36 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, berswafoto bersama penerima Anugerah Pengakap di Istana pada 2 Disember.
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan isterinya, Puan Jane Ittogi, berswafoto bersama penerima Anugerah Pengakap di Istana pada 2 Disember. - Foto ST

Apabila Lin Chuan Yu memulakan Menengah 1 di Sekolah Tinggi River Valley, dia perlu memilih kegiatan kokurikulum (CCA).

Walaupun pasukan Pengakap bukan pilihan pertamanya, dia akhirnya ditempatkan dalam CCA tersebut berbanding pilihan lain yang dibuatnya.

Sepanjang tempoh persekolahannya, Chuan Yu terus kekal sebagai anggota Pengakap kerana menghargai nilai-nilai yang dipelajari melalui kegiatan pasukan berseragam itu.

Chuan Yu, pada usia 18 tahun, adalah salah seorang daripada 14 Pengakap Venture – unit Pengakap remaja – yang menerima Anugerah Pengakap Presiden daripada Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 2 Disember di Istana. 

Pada majlis yang sama, enam anggota Pandu Puteri juga menerima Anugerah Pandu Puteri Presiden 2024, lapor The Straits Times (ST).

Kededua anugerah tersebut merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan kepada Pandu Puteri dan Pengakap Venture paling cemerlang di Singapura atas prestasi menyeluruh mereka, bakti kepada masyarakat, serta dedikasi terhadap pasukan berseragam.

Penerima anugerah tersebut merupakan pelajar yang telah menunjukkan potensi kepimpinan luar biasa melalui peglibatan mereka dalam projek yang menangani isu nasional atau sejagat.

Pada 2023, Chuan Yu mengetuai pasukannya dalam menjalankan Projek Reminiscence, sebuah projek Values-in-Action (VIA), atau Nilai Dalam Tindakan, anjuran Pengakap di sekolahnya.

Di bawah projek itu, para Pengakap membawa warga emas daripada organisasi sosial bersiar-siar ke tempat menarik atau bersejarah – untuk meningkatkan interaksi antara warga emas dengan pelajar dan mengimbau kenangan lama warga emas.

Semasa lawatan ke Kebun Bunga pada 2023, Chuan Yu bertemu dengan seorang wanita warga emas yang mengenalinya daripada projek Pengakap lain yang disertai pada 2019.

“Ini benar-benar menunjukkan kepada saya bahawa walaupun projek VIA seperti ini mungkin sementara dan sepintas lalu bagi pelajar, ia sangat bermakna buat golongan warga emas,” kata Chuan Yu.

Mengambil inspirasi daripada peristiwa itu, Chuan Yu kekal membimbing Pengakap muda untuk memastikan inisiatif itu berterusan dan berharap untuk menjadikannya acara tahunan buat Pengakap River Valley.

Seorang lagi penerima Anugerah Pengakap Presiden, Thanong Virabhak, 18 tahun, juga melihat kegiatan beramah mesra dengan golongan warga emas sebagai sesuatu yang cukup bernilai.

Tiap dua kali sebulan, pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) itu meluangkan hari minggunya di pusat jagaan warga emas NTUC Health di Serangoon untuk mengajar mereka kemahiran baru.

Kegiatan itu adalah sebahagian daripada Projek Silver Befriending yang dirintisnya pada 2023.

“Apabila saya melihat warga emas yang bersendirian di sekitar kawasan perumahan saya, saya tertanya-tanya bagaimana saya mahu dilayan apabila saya tua kelak… Saya rasa saya ingin orang berinteraksi dengan saya,” kata Thanong.

Mengambil inspirasi daripada kesepian yang dilihat dalam kalangan warga emas, Thanong telah menjalin persahabatan dengan ramai warga emas.

Dia percaya membantu warga emas tidak semestinya memerlukan seseorang untuk menjadi sukarelawan di bawah organisasi, tetapi ia bermula dengan mengorak langkah pertama untuk berinteraksi dengan mereka.

Sementara kededua penerima anugerah itu giat berkhidmat kepada warga emas, seorang penerima Anugerah Pandu Presiden, Celestine Ng Hui En, 16 tahun, pula memacu tindakan terhadap perubahan iklim.

Pelajar Sekolah Perempuan Cina Singapura itu memimpin projek yang dikenali sebagai ‘The Thrift Circle’ pada 2023, yang mempromosikan kemampanan alam sekitar.

Apabila Celestine mengambil alih projek tersebut, dia ingin projek itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran ramai tentang alam sekitar, malah “mahu menggalakkan orang ramai untuk mengambil tindakan yang lebih berkesan”.

Kegiatan yang dijalankan termasuk mengadakan kempen derma dan pasar amal, yang mana barangan terpakai daripada pelajar diberikan secara percuma kepada pelajar dan kakitangan sekolah bagi menggalakkan pembelian bertanggungjawab.

Celestine turut menambah bahawa penerimaan Anugerah Pandu Puteri Presiden telah menyemarakkan semula semangatnya terhadap gerakan pasukan berseragam itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg