Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengakuan ejen hartanah: Lumayan tapi sukar bertahan jika tidak ada minat, motivasi

Nov 14, 2022 | 5:30 AM
TERTARIK DENGAN PELUANG RAIH GAJI MEWAH: Encik Shiddique Asyraaf Adam Malikh (kanan) mula menjadi ejen hartanah sepenuh masa pada Januari lalu, menyertai pasukan mentornya Encik Heikal Shafrudin (kiri). Walaupun pada mulanya tertarik kepada peluang meraih pendapatan mewah sebagai ejen, Encik Asyraaf akur terdapat ketidaktentuan mengenai pendapatan setiap bulan, terutama sekali sebagai ejen baru. - Foto BH oleh KHALID BABA
TERTARIK DENGAN PELUANG RAIH GAJI MEWAH: Encik Shiddique Asyraaf Adam Malikh (kanan) mula menjadi ejen hartanah sepenuh masa pada Januari lalu, menyertai pasukan mentornya Encik Heikal Shafrudin (kiri). Walaupun pada mulanya tertarik kepada peluang meraih pendapatan mewah sebagai ejen, Encik Asyraaf akur terdapat ketidaktentuan mengenai pendapatan setiap bulan, terutama sekali sebagai ejen baru. - Foto BH oleh KHALID BABA -

NUR ADILAH MAHBOB

SEBELUM menyertai industri hartanah sebagai ejen, Encik Shiddique Asyraaf Adam Malikh akur beliau pada mulanya tertarik kepada peluang untuk meraih gaji yang besar, lebih-lebih lagi melihat ejen hartanah yang memandu kereta mewah seperti BMW, Jaguar dan Mercedes.

Setelah akhirnya lulus Peperiksaan Jurujual Hartanah (RES) pada percubaan ketiganya tahun lalu, Encik Asyraaf, 29 tahun, memutuskan untuk menceburi bidang tersebut sebagai ejen hartanah sepenuh masa di bawah PropNex pada Januari lalu.

Sebelum ini, beliau meraih gaji sekitar $2,500 sebulan sebagai paralegal. Kini, beliau meraih komisen secara purata sekitar $15,000 hingga $20,000 setiap bulan, dengan sekitar 30 hingga 40 peratus daripadanya diperuntuk untuk kos pemasaran.

Namun, beliau sedar sebagai ejen hartanah, terdapat ketidaktentuan tentang gaji yang akan diraih pada bulan akan datang.

"Kerjanya bukan macam kerja biasa '9 to 5', ambil cuti pun hujung bulan tetap ada gaji.

"Tetapi untuk kerja ini, ada klien atau tidak, saya masih perlu buat kerja pemasaran secara konsisten.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku pada hujung bulan atau bulan depan," ujarnya.

Ada kalanya, beliau mengendali tiga hingga empat transaksi sebulan, kebanyakannya dalam pasaran HDB, tetapi pada bulan tertentu, ada kalanya juga tiada urus niaga.

"Sukar juga nak bertahan dalam industri ini kalau tidak ada minat dan motivasi. Bagi saya, minat mendalam itu ada tetapi kadang kala motivasi pun boleh turun naik.

"Motivasi saya ialah keluarga saya yang membesar," ujar Encik Asyraaf, yang mempunyai dua anak berusia dua tahun dan hampir setahun. Isterinya juga kini hamil.

Nilai urus niaga tertinggi yang beliau kendalikan sejauh ini ialah $840,000 bagi sebuah unit maisonette eksekutif di Pasir Ris.

Kerja sebagai ejen juga mempunyai waktu yang lebih fleksibel, yang membolehkan beliau untuk menemani isterinya, yang menghidap penyakit jangka panjang, ke hospital.

Namun, ini juga bermakna beliau kerap perlu bekerja lebih masa hingga lewat malam atau pada hujung minggu.

"Kalau kerja saya dahulu, lepas jam 5 petang sahaja kita boleh 'shutdown'. Tetapi sekarang, petang sampai malam pun kita perlu bekerja untuk berurus dengan klien.

"Memang masanya lebih fleksibel tetapi sebenarnya saya fikir waktu kerja sekarang lebih lama daripada kerja saya sebelum ini," ujarnya.

Di bawah bimbingan mentornya Encik Heikal Shafrudin, 34 tahun, ejen hartanah di bawah PropNex, Encik Asyraaf juga meluangkan masa untuk membuat video pemasaran sendiri di media sosial.

Encik Asyraaf tertarik dengan cara Encik Heikal mengongsi ilmu tentang hartanah di media sosial, sekali gus menawarkan nilai kepada pengguna.

"Apabila saya bertemu dengan Heikal, beliau juga mengakui beliau baru sahaja menjadi ketua dan pengurus dan tidak boleh janjikan kejayaan semalaman, tetapi beliau hanya mampu kongsi apa yang beliau tahu.

"Apa yang kami tak tahu, kami belajar bersama. Menang dan kalah pun bersama," ujar Encik Asyraaf.

Pasukan itu, yang diberi nama Herohomes.sg, memberi tumpuan kepada keluarga muda yang mahu berpindah dari flat bina ikut tempahan (BTO) ke kondominium privet atau flat lebih besar.

Pasukan Encik Heikal itu melihat seramai 16 anggota baru menyertainya tahun ini dan terdapat lima lagi ejen berpotensi yang sedang mengambil peperiksaan RES sekarang.

Encik Heikal berkata kerjaya sebagai ejen hartanah merupakan pilihan pertengahan kerjaya yang popular.

"Sedang lebih ramai sedar tentang kestabilan jangka panjang dan pendapatan mantap dalam industri ini, ia menjadi pilihan yang menarik untuk keluarga mereka.

"Ejen yang ada sekarang juga mengongsi aktiviti harian mereka menerusi media sosial dan ini memberi gambaran tentang gaya hidup yang selesa dan fleksibel yang berbeza daripada kerjaya '9 to 5'," ujar Encik Heikal, yang menyertai industri itu setelah selesai menjalani Perkhidmatan Negara 13 tahun lalu. - NUR ADILAH MAHBOB

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg