Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengalaman bantu nenek, ibu jaga tanaman putik bunga cinta pada dunia landskap
Pengalaman bantu nenek, ibu jaga tanaman putik bunga cinta pada dunia landskap
Pengalaman bantu nenek, ibu jaga tanaman putik bunga cinta pada dunia landskap
Minat Encik Muhammad Sufi Emmy Effandy terhadap reka bentuk landskap mula berputik di rumah, di mana beliau membesar dengan membantu nenek dan ibunya menjaga tumbuhan.
Beberapa tahun kemudian, pengenalan awal zaman kanak-kanak terhadap tumbuh-tumbuhan hijau itu telah berkembang menjadi minat dan nyala rasa lebih mendalam terhadap ruang luar, kelestarian dan reka bentuk landskap bagi penuntut yang kini berusia 19 tahun itu.
Anak keempat dalam enam beradik itu langsung mengikuti pengajian Diploma dalam Seni Bina Landskap di Politeknik Singapura (SP).
Daripada pengalaman tersebut, Encik Sufi mula melihat tumbuhan dan ruang hijau sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupannya.
“Saya sudah biasa membantu nenek dan ibu menjaga tanaman di rumah. Jadi saya agak selesa dengan kerja mencorak landskap tanaman sejak kecil.
“Saya juga sukakan aktiviti luar dan kegiatan mengembara.
“Apabila minat ini digabungkan dengan kesedaran akan pentingnya kelestarian dalam kehidupan, saya langsung memili seni bina landskap sebagai bidang untuk diceburi,” jelasnya.
Encik Sufi merupakan sebahagian daripada pasukan SP yang menerima Anugerah Sagu Hati bagi kategori Hardscape dalam Cabaran Reka Bentuk Landskap bagi Festival Taman Singapura.
‘Hardscape’ merujuk kepada semua unsur tidak hidup, keras, dan tidak berubah yang dibina atau diletakkan di dalam sesuatu kawasan landskap.
Ia adalah struktur atau ‘tulang belakang’ yang memberi bentuk, fungsi, dan sempadan kepada ruang luar tersebut.
Bagi cabaran itu, pasukan Encik Sufi menghasilkan projek bertajuk “Reminisce”, yang mendapat inspirasi daripada festival, karnival dan kenangan zaman kanak-kanak.
Di tengah-tengah reka bentuk itu ialah taman permainan, Dragon Playground di Toa Payoh, satu mercu tanda yang cukup dikenali ramai warga Singapura dan sering dikaitkan dengan permainan, zaman kanak-kanak serta kehidupan masyarakat di estet perumahan HDB.
“Pasukan saya mahu menghasilkan taman yang mengajak pengunjung mengimbau masa lalu, meraikan masa kini dan melihat ke arah masa depan yang lebih menghijau.
“Reka bentuk kami turut menggunakan bentuk bulat yang dinamik dan unsur pencahayaan bagi melambangkan pergerakan, kesinambungan, harapan dan kemajuan,” ujarnya.
Bagi Encik Sufi, landskap bukan sekadar ruang yang cantik dilihat. Ia juga boleh menyimpan kenangan, menghubungkan generasi dan membantu membentuk persekitaran yang lebih mampan.
Beliau berkata antara cabaran terbesar semasa persiapan ialah menyelaras masa latihan dengan rakan sepasukan, selain berkomunikasi dengan pihak lain untuk mendapatkan tumbuhan dan bahan yang diperlukan.
“Pengalaman itu mengajar saya tentang kepentingan kesabaran, kerjasama, komunikasi dan kemampuan menyesuaikan diri dengan keadaan,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Encik Sufi berharap dapat menyumbang kepada visi Singapura sebagai Bandar dalam Alam Semula Jadi dengan menghasilkan reka bentuk yang lebih lestari, sambil memelihara ruang dan kenangan yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti negara.
