Pengalaman pekerja diasing

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman pekerja diasing

Apr 21, 2020 | 5:30 AM

Pengalaman pekerja diasing

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
TERASING: Encik Sozal Mirza (layar besar) berkongsi keadaannya diasingkan di asrama Sungei Tengah Lodge bersama wartawan Berita Harian, Zulaiqah Abdul Rahim (layar kecil), menerusi satu panggilan video. - Foto BH oleh ZULAIQAH ABDUL RAHIM
TERASING: Encik Sozal Mirza (layar besar) berkongsi keadaannya diasingkan di asrama Sungei Tengah Lodge bersama wartawan Berita Harian, Zulaiqah Abdul Rahim (layar kecil), menerusi satu panggilan video. - Foto BH oleh ZULAIQAH ABDUL RAHIM -

RASA bimbang dan ketakutan pastinya menyelebungi diri.

Apakan tidak, jika virus Covid-19 yang mengancam, berlegar di sekitar kediamannya.

Begitulah perasaan pekerja asing, Encik Sozal Mirza, yang menetap di asrama Sungei Tengah Lodge.

Asrama yang terletak di Old Choa Chu Kang Road itu merupakan antara 12 asrama diwartakan sebagai tapak pengasingan - tempat semua pekerja perlu dikuarantin dalam bilik selama 14 hari.

Sehingga kelmarin, 521 kes sah jangkitan telah berkait dengan asrama itu.

Singapura telah melaporkan 6,588 kes jangkitan, dengan 11 kematian sejauh ini.

Daripada jumlah kes itu, 4,706 kes terdiri daripada penghuni asrama, menjadikan golongan itu kelompok terbesar Covid-19 di sini.

Mengirim khabarnya kepada akhar Berita Harian semalam menerusi satu panggilan video, Encik Sozal, 26 tahun, berkata beliau berada dalam keadaan sihat tanpa menunjukkan sebarang gejala jangkitan.

"Agak risau juga memandangkan sudah ada kira-kira 500 kes di sini," ujar warga Bangladesh itu.

"Tetapi, keadaannya sudah bertambah baik. Ia tidak begitu kritikal seperti pada awalnya."

Menurut pekerja binaan itu, pemerintah juga telah menghulur bantuan menyediakan keperluan asas seperti makanan, sabun mandi, pelitup, termometer, sanitiser tangan dan kad SIM telefon serta Wifi kepada penghuni asrama.

Encik Sozal kini diasingkan selama 11 hari di biliknya, bersama 11 lagi rakan kerja.

Ditanya apa yang beliau sangat merindui ketika dikuarantin, Encik Sozal, yang mengakui sudah mula rasa bosan, berkata:

"Saya rindu sangat untuk bekerja," jawabnya, yang telah mula mencari nafkah di Singapura sejak tiga tahun lalu.

"Saya sudah biasa bekerja setiap hari. Sekarang, masa berlalu agak perlahan.

"Tetapi, lama-kelamaan, kami sudah sesuaikan diri dengan rutin baru ini."

Bagi mengisi waktunya, Encik Sozal akan berhubung dengan keluarga tercinta dan sahabat handai dalam talian setiap hari.

Ini termasuk abangnya, Encik Islam Mirza Khairul, 30 tahun, juga seorang pekerja asing di Singapura.

Encik Islam kini diasingkan di asrama Sungei Kadut Loop.

Menyentuh mengenai keluarganya di Bangladesh, Encik Sozal, yang belum berumah tangga, berkata beliau akan bertanya khabar dan memberi kemas kini mengenai keadaannya di sini.

"Ibu bapa mana yang tidak risau melihat anaknya dalam keadaan sebegini," katanya, yang menambah bahawa negara asalnya kini melaporkan lebih 2,000 kes jangkitan Covid-19.

"Tetapi, mereka tidak begitu panik tentang keadaan di Singapura. Mereka yakin dengan sistem penjagaan kesihatan yang ada di sini dan pemerintah Singapura boleh menjaga kami dengan baik."

Selain keperluan asas penduduk asrama terpelihara, Encik Sozal turut berasa lega bahawa gajinya tidak terjejas ekoran tempoh kuarantin ini.

"Pemerintah Singapura telah melakukan yang terbaik bukan hanya menjaga keperluan kami, tetapi untuk keluarga kami juga. Mereka pastikan kami tetap terima gaji (untuk menghantar wang pulang kepada keluarga)," kata anak bongsu itu.

Encik Sozal, yang menganggap sokongan dan bantuan pemerintah dan warga Singapura sebagai "perbuatan berperikemanusiaan", menzahirkan terima kasih.

"Saya berdoa agar keadaan ini berakhir cepat mungkin... kita semua dapat kembali kepada kehidupan normal - gembira dan tidak perlu takut pada wabak ini," tambahnya.

"Saya juga mahu kembali bekerja supaya saya dapat membayar kembali jasa budi baik Singapura."

Jumaat lalu, Encik Sozal turut mengalung penghargaan kepada pemerintah Singapura atas layanan baik dan bantuan yang diberi kepada pekerja asing, dalam satu pos yang dimuat naik di Facebook.

Catatan itu menerima 3,500 'likes' dan dikongsi sebanyak 1,600 kali sehingga semalam.

Ia juga menarik komen daripada warga Singapura bagi mengenang jasa dan usaha pekerja asing di sini yang bantu membangunkan negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg