DARIPADA kemunculan pertama di Saluran Astro Malaysia, hinggalah ke penerbitan buku dan kemudian diundang menjadi panelis bagi acara keagamaan di seberang Tambak.

Inilah titik permulaan Ustazah Liyana Musfirah Anwar dalam menebarkan sayap dan pengaruh melangkau sempadan Singapura.

Menceritakan saat pertama menembusi pasaran di Malaysia pada 2018, Ustazah Liyana, 30 tahun, yang merupakan pengasas bagi Liyana Musfirah Network berkata beliau telah didekati syarikat televisyen Astro untuk membuat perkongsian keagamaan menerusi saluran NauraShares ketika itu.

"Mereka mahukan seorang asatizah yang dapat membuat perkongsian bersifat kerohanian dalam bahasa Inggeris dan pada ketika itu, Malaysia tidak mempunyai ramai asatizah yang selesa bertutur dalam bahasa Inggeris," ujarnya.

Pendedahan meluas itu menurutnya membantu dalam mengembangkan jenama Liyana Musfirah di Malaysia dan ini diperkukuhkan lagi apabila syarikat penerbitan, Iman Publication House, mahu menerbitkan buku beliau, 'The Spiritual Strength in Our Scars' yang kemudian merupakan antara buku terlaris syarikat tersebut.

Ustazah Liyana, yang merupakan ibu tunggal tiga orang cahaya mata berusia antara lima tahun dengan lapan tahun juga, mula kerap diundang bagi pelbagai acara bersifat keagamaan yang sering dihadiri mereka yang lebih muda.

Bahkan beliau diundang bersama-sama panelis lain yang bukan calang-calang seperti selebriti terkenal Malaysia Neelofa dan pemilik tudung popular Duck, Vivy Yusof.

Baru-baru ini juga, Ustazah Liyana diundang untuk mengadakan satu sesi Instagram Live bersama Neelofa yang mendapat tarikan lebih 2,000 tontonan secara langsung dengan sebahagian besar perkongsian dilakukan dalam bahasa Inggeris.

"Kekuatan asatizah kita yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris memang antara tarikan utama.

"Tambahan itu, usia saya yang masih muda merapatkan lagi jurang dengan pengikut di sana yang melihat saya bukan sebagai asatizah tetapi sebagai teman sebaya yang boleh mereka luahkan perasaan selain memahami keadaan yang sedang mereka lalui," katanya.

Ustazah Liyana yang mempunyai lebih 88,000 pengikut di Instagram berkata, sekitar 30 peratus pengikutnya merupakan mereka yang berasal dari Malaysia, dengan ada yang mengikuti pelbagai kelasnya secara dalam talian.

Di samping itu, beliau kini telah meluaskan perkhidmatan dengan menawarkan khidmat psikoterapi di bawah syarikat Hayaa Consultancy yang diterajui Pengarah Pakar Psikoterapi Sistemik dan Konsultan Klinikal Hayaa' Network, Cik Maimunah Mosli.

Syarikat keusahawan sosial ini yang berteraskan pemikiran sistemik, menggabungkan agama, kerohanian serta lensa sosioemosi dalam segala program dan perkhidmatannya.

Khidmat psikoterapi sistemik ini bukan sahaja untuk individu, malah keluarga, pasangan dan pertubuhan.

Latihan sistemik turut dijalankan untuk para pengamal selain orang awam yang ingin dilatih secara profesional tentang cara menguruskan hubungan.

"Semuanya mempunyai hubungan antara satu dengan lain. Keluarga Asia kaya dengan budaya, agama dan kerohanian dan semua saling terhubung, ibarat jika sesebuah keluarga itu seperti sup, tidak lengkap sup itu jika ia tidak mengandungi bahan penting seperti garam dan ayam misalnya," ujarnya.

Di samping itu, syarikat tersebut juga telah menerima pelaburan daripada Cik Tasneem Noor, pemilik restoran Fika dan kedai roti Konditori, untuk mengembangkan khidmat penilaian terapi holistik di bawah jenama Eden.

Eden oleh Hayaa Consultancy menawarkan terapi antara lain kepada orang dewasa yang menghidapi Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) serta penilaian tidur.

Hayaa mendedahkan bahawa jumlah yang dilaburkan merupakan jumlah enam angka. Cik Tasneem berkata, wang yang dilaburkan bertujuan membiayai kos operasi, penjenamaan dan pemasaran.

Baginya khidmat sehenti yang ditawarkan Eden sesuatu yang kurang dalam masyarakat kerana kebanyakan yang menerima bantuan hanya mendapatkan bantuan perubatan untuk menangani isu psikologi yang mereka hadapi.

"Saya dapat lihat potensi daripada segi usaha yang dijalankan Eden. Ia tidak hanya memberi tumpuan terhadap individu bahkan juga apa yang mereka makan selain menilai tempoh rehat secukupnya yang diraih individu berkenaan.

"Pendekatan holistik ini sesuatu yang amat dekat pada diri saya," ujarnya yang memegang 10 peratus daripada jumlah pelaburan yang dilaburkan.

Meski perjanjian adalah selama dua tahun, Cik Tasneem berkata beliau sudah pun dapat melihat perkembangannya.

"Walaupun saya mempunyai latar belakang dalam bidang makanan dan minuman, seperti terapi, sektor makanan ini juga banyak mempunyai kaitan dengan interaksi, kehidupan dan kekeluargaan.

"Saya mahu menawarkan konsultasi daripada segi penjenamaan selain menerapkan minat saya terhadap makanan sekali gus membantu mereka yang memerlukan," katanya lagi.