Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 30 September mengumumkan penganugerahan tiga kontrak awam dengan nilai gabungan $1.2 bilion untuk pembinaan fasa kedua Jejambat Tuas Road.

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada awal 2027 dan berterusan sehingga 2032, lapor The Business Times.

Syarikat Singapura, Hwa Seng Builder, memenangi kontrak Jejambat Pioneer Road yang bernilai $381.6 juta.

Manakala cawangan Singapura bagi syarikat China, Communications Construction Company (CCCC), sebuah syarikat pembinaan milik negara yang berpangkalan di China dengan penyenaraian di Shanghai dan Hong Kong, meraih kontrak Jejambat Tuas South Avenue 3 bernilai $430.3 juta.

Syarikat China Harbour (Singapore) Engineering Company telah dianugerahkan kontrak Jejambat Tuas South Boulevard yang bernilai $404.4 juta.

Syarikat ini ialah anak syarikat milik negara China Harbour Engineering Company, yang merupakan unit di bawah CCCC.

LTA menyatakan bahawa ketiga-tiga syarikat tersebut mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam melaksanakan projek infrastruktur pengangkutan dan kejuruteraan awam yang utama di Singapura.

Hwa Seng Builder, sebagai contoh, kini terlibat dalam pembinaan Jejambat Loyang dan tiga buah stesen di Laluan Daerah Jurong, manakala CCCC sedang menjalani kerja-kerja pembinaan jejambat dan terowong untuk Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, dan Hab Pengangkutan Bersepadu Jurong East.

Fasa dua Jejambat Tuas Road akan menyaksikan jejambat tersebut dipanjangkan di hujung barat dan timurnya, menghubungkan Pioneer Road, Tuas South dan Pelabuhan Tuas.

Apabila siap kelak, ia akan menjadi jalan bertingkat berterusan yang menghubungkan Ekpreswe Ayer Rajah (AYE) dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) ke Pioneer Road dan Tuas South, menyediakan hubungan langsung ke Pelabuhan Tuas.

Menurut LTA, ini akan memudahkan pembangunan perindustrian di Tuas South dan penyatuan kegiatan pelabuhan kontena Singapura di Tuas sepanjang dekad akan datang.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti