Pegawai Lapangan Terbang Changi Singapura sedang mempertimbangkan untuk menyambung semula penerbangan langsung ke Uzbekistan apabila permintaan perjalanan ke negara Asia Tengah itu meningkat.
Jurucakap Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) memberitahu The Straits Times (ST) pada 29 Mei bahawa pihaknya kini berada di peringkat awal untuk meneroka usaha menyambung semula perkhidmatan ke Uzbekistan, dan akan memberikan butiran lanjut apabila tersedia.
Uzbekistan, katanya, mempunyai “daya tarikan destinasi yang kukuh” dan menghadapi permintaan perjalanan yang semakin meningkat.
“Asia Tengah ialah rantau yang sedang berkembang, yang mana CAG sedang mempertimbangkan untuk menyediakan penerbangan secara langsung,” tambahnya.
Pengendali lapangan terbang milik negara Uzbekistan pula berkata pada 20 Mei bahawa ia telah membincangkan prospek membuka laluan penerbangan antara Singapura dengan Tashkent, ibu negara Uzbekistan, menerusi perbincangan dengan wakil CAG.
Pengendali itu menambah bahawa CAG telah melahirkan minat untuk melancarkan semula penerbangan terus antara kededua bandar di tengah-tengah kecenderungan yang semakin meningkat terhadap Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan.
Perhatian khusus diberikan kepada peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent sebagai titik transit strategik untuk aliran penumpang antara Eropah dengan Asia semasa rundingan.
Lapangan Terbang Uzbekistan berkata ia telah bersetuju untuk bekerjasama dengan CAG dalam isu berkaitan logistik dan pemasaran, dan untuk menjelaskan prosedur kawal selia yang diperlukan untuk melancarkan penerbangan.
Uzbekistan Airways, sebelum ini, mengendalikan perkhidmatan dua kali seminggu yang merentasi laluan antara Tashkent, Singapura dan Kuala Lumpur.
Tetapi syarikat penerbangan itu berhenti menyediakan penerbangan pada April 2019 kerana trafik rendah daripada Lapangan Terbang Changi. Ini berlaku walaupun warga Singapura dibenarkan memasuki Uzbekistan tanpa visa selama 30 hari sejak 2018.
Selepas pandemik Covid-19, minat untuk mewujudkan semula hubungan udara dengan Uzbekistan dan bahagian lain di Asia Tengah kembali pulih apabila sektor penerbangan di rantau itu berkembang pesat.
Ledakan itu telah didorong sebahagiannya oleh penutupan ruang udara Russia, yang telah menyebabkan syarikat penerbangan melalui atau terbang di Asia Tengah.
Faktor lain termasuk kebenaran diberi kepada lebih banyak penerbangan oleh syarikat asing dan syarikat di Uzbekistan sendiri.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg