Bas pengangkutan awam yang menyediakan khidmat antara Lapangan Terbang Changi dengan kawasan bandar akan dipasang dengan rak bagasi tiga tingkat bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang ke lapangan terbang.
Namun, pemasangan rak bagasi itu belum diputuskan kerana Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang menjalankan percubaan dalam tempoh tiga bulan.
Dalam catatan Facebook pada 16 Ogos, LTA berkata bahawa rak itu akan dipasang pada salah satu bas Perkhidmatan 36, mulai 17 Ogos.
Menurut akbar The Straits Times, rak itu boleh muat sehingga enam bagasi besar dan dilengkapi dengan ciri penyimpanan selamat, termasuk lantai cegah gelincir dan bonggol cegah bagasai daripada terguling, tambah LTA.
Menurut penguasa itu lagi, bahagian tengah dan atas rak itu mempunyai platform condong, manakala tingkat bawah akan mempunyai bar mendatar boleh alih untuk memastikan beg bagasi berada di tempatnya.
Dalam gambar yang mengiringi siaran LTA itu, rak diletakkan di ruang dua tempat duduk betul-betul di belakang pemandu bas.
Menurut penguasa itu lagi, bus nombor perkhidmatan 36 dipilih kerana ia adalah satu-satunya yang menyediakan perkhidmatan terus antara lapangan terbang dengan kawasan bandar.
Dikendalikan oleh Go-Ahead Singapore, perkhidmatan bas 36 bermula dari Lapangan Terbang Changi dan bergerak ke Orchard Road dan kembali ke lapangan terbang.
Perkhidmatan tersebut melalui tempat-tempat seperti Parkway Parade, Suntec City, Universiti Pengurusan Singapura dan Hotel Four Seasons.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg