MENJELANG tahun depan, penganjur mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) di Singapura dijangka perlu mengukur sisa dan jejak karbon terhasil di acara mereka.
Rancangan itu dinyatakan dalam peta laluan kemampanan yang dilancarkan semalam oleh sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran (Saceos).
Peta laluan itu menetapkan matlamat dan strategi bagi mempertingkat piawai kemampanan di seluruh industri Mice Singapura sepanjang beberapa tahun mendatang, agar negara ini dapat diletak sebagai destinasi Mice kemampanan utama Asia Pasifik menjelang 2030, menurut jawatankuasa itu.
Salah satu sasarannya ialah menghasilkan satu set standard kemampanan menjelang tahun depan, agar industri yang turut melibatkan penganjur, tempat acara, kontraktor dan syarikat katering makanan dan minuman (F&B) boleh membuat permohonan.
Ia menyasarkan diiktiraf di peringkat antarabangsa menjelang 2024.
Sasaran kedua ialah kesemua enam tempat acara yang dibina khas untuk Mice dan 80 peratus anggota Saceos memperoleh pensijilan kemampanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa atau nasional, kededuanya menjelang 2025.
Enam tempat yang dibina khas itu ialah di Pusat Pameran Changi, Pusat Konvensyen Raffles City, Pusat Konvensyen Resorts World, Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, Singapore Expo, dan Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore.
Tetamu terhormat di pelancaran peta laluan itu semalam, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, berkata sektor pelancongan Singapura, termasuk industri Mice, sedang meraih momentum, dengan banyak acara dirancang tahun depan dan selanjutnya.
"Kita menyambut lebih 4.5 juta pelawat dalam 10 bulan pertama tahun ini - sekitar 40 peratus paras sebelum Covid-19 - dan sedang dalam laluan menuju akhir tahun ini dengan menepati ramalan kami hingga empat atau enam juta pelawat tahun ini.
"Sebelum pandemik melanda, industri acara perniagaan menyokong lebih 34,000 pekerjaan secara langsung atau tidak langsung dengan nilai tambah hampir $4 bilion, atau hampir 1 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura," kata Encik Tan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg