Pada Hari Kebangsaan 2024, seorang warga Bangladesh yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, menyampaikan ceramah kepada pekerja migran di sebuah dormitori dan menyuarakan permusuhan terhadap mereka yang tidak berkongsi pandangan politik dan keagamaannya.
Pengarah urusan pengendali dormitori Lantana Lodge, Abdus Sattar, 51 tahun, seorang warga Singapura, didenda $7,000 pada 28 Oktober selepas mengaku bersalah kerana menganjur perhimpunan awam tanpa permit dan menyediakan hiburan awam tanpa lesen.
Syarikat pengendali dormitori, SBM Electrical & Automation, turut dikenakan denda $20,000 kerana gagal menyelenggara rekod keluar masuk penghuni dengan sempurna.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Sheldon Lim, Sattar mengenali penceramah terbabit, Amir Hamza, yang pernah dikaitkan dengan kumpulan pengganas pro-Al-Qaeda di Bangladesh dan ditahan pada 2021 atas dakwaan menghasut sikap militan.
Menurut DPP Lim, pemerintah Bangladesh telah menahan Amir pada 2021 atas dakwaan keterlibatan dengan kegiatan pengganasan dan menghasut keganasan, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Pada Julai 2024, Sattar menjemput Amir melalui pesanan WhatsApp ke Singapura untuk memberi ceramah dan memimpin doa sempena sambutan Hari Kebangsaan di Lantana Lodge, yang terletak di Tech Park Crescent, di Tuas.
Amir bersetuju dan tiba bersama seorang lagi warga Bangladesh, Ullah Mohammed Neamat.
Menjelang acara, Sattar menerima poster digital promosi daripada salah seorang pekerjanya untuk kelulusan.
Poster yang memaparkan Amir sebagai penceramah dan Ullah sebagai penyanyi dakwah menyatakan acara pada 9 Ogos terbuka kepada semua penduduk Singapura.
Sattar mengarahkan dua penyelia menyebarkannya kepada para pekerja.
Pada malam itu, sekitar 600 pekerja migran berhimpun di ruang terbuka dormitori antara 8 malam dengan 10.30 malam.
Ullah menyanyikan lagu-lagu Islam, diikuti ceramah Amir selama hampir setengah jam yang dikatakan menimbulkan risiko ekstremisme dan radikalisasi.
Mahkamah diberitahu tiada kawalan keselamatan dijalankan malam itu kerana cuti umum dan tiada lesen dikeluarkan kepada Sattar bagi acara tersebut.
Amir dan Ullah meninggalkan Singapura keesokan harinya.
Beberapa hari kemudian, polis menerima maklumat mengenai penceramah ekstremis yang pernah dipenjarakan di Bangladesh dan dibenarkan berucap kepada pekerja migran.
DPP Lim menegaskan keharmonian pelbagai kaum di Singapura “telah dibina dengan penuh usaha dan tidak boleh diambil mudah”, sambil menggesa hukuman berat terhadap Sattar.
Peguam bela, Encik Akram Khaira berkata Sattar kesal dan hanya mahu pekerja Muslimnya mengisi cuti dengan doa dan renungan.
Dalam kenyataan terdahulu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menegaskan ceramah Amir menyebarkan ajaran ekstremis memecahbelahkan dan mengancam keharmonian masyarakat.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam menegaskan di Parlimen bahawa Amir menggambarkan mereka bukan Islam sebagai kafir dan menjulang golongan ekstremis sebagai contoh ketakwaan.
Beliau menambah bahawa Amir berjaya masuk ke Singapura menggunakan pasport dengan nama berbeza, dan terlepas saringan kerana ini merupakan kunjungan pertamanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg