PENGARAH Kehormat Pejabat Perwakilan Singapura (SRO) di Ramallah, Palestin, Cik Shireen Shelleh, sedang melakukan lawatan pengenalannya ke Singapura minggu ini.
Mengalu-alukan kedatangannya ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, yang menemuinya pada Isnin.
"Kami mengadakan perbincangan yang baik tentang bagaimana Singapura boleh terus menyokong usaha pembangunan keupayaan pihak berkuasa Palestin," kata Dr Maliki yang kali terakhir bertemu Cik Shireen pada Oktober 2022 semasa acara merasmikan SRO di Ramallah, Palestin.
Sebagai Pengarah Kehormat, Cik Shireen akan menyelaras secara rapat dengan wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi, bagi memudahkan penyampaian pakej bantuan teknikal yang dipertingkat untuk rakyat Palestin, yang ditubuhkan pada 2013.
"MFA (Kementerian Ehwal Luar) berharap untuk bekerjasama dengan beliau (Cik Shireen) bagi meningkatkan bantuan teknikal kami untuk rakyat Palestin," tambah Dr Maliki.
Semasa lawatannya, Cik Shireen telah mengunjungi Pusat Pengunjung NEWater dan juga Galeri Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) di Maxwell Road pada Selasa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg