Seorang pengarah syarikat yang memberi rasuah secara tidak langsung kepada seorang kakitangan DSO National Laboratories dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dua minggu pada 16 Oktober.

Jason Chua Aik Leng, 67 tahun, sebelum ini mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan bersubahat dalam pemberian ganjaran secara rasuah.

Dia merupakan pengarah eksekutif kanan dan pemegang saham Wah Loon Engineering (WLE).

Menurut dokumen mahkamah, sekitar 2018, Poh Beng San, penolong pengurus pasukan pengurusan kemudahan DSO, memberitahu subkontraktor Alex Lee Yew Huat bahawa DSO sedang mencari kontraktor untuk menjalankan kerja bagi salah satu bangunannya.

DSO ialah organisasi penyelidikan dan pembangunan pertahanan terbesar di Singapura.

Ia menjalankan fungsi awam yang berkaitan dengan pertahanan negara.

Mahkamah diberitahu Poh meminta tanda penghargaan jika kontraktor memperoleh projek itu.

Lee, penyelia di syarikat perlindungan kebakaran Fire-Mech, menghubungi Chua dan berkata dia mempunyai maklumat dalaman daripada seseorang di DSO yang boleh membantu WLE memenangi projek itu. 

Chua kemudian akan memberi subkontrak bahagian perlindungan kebakaran kepada Fire-Mech, dan memberi sekitar 1 peratus harga kontrak kepada orang di DSO itu sebagai tanda penghargaan.

Chua bersetuju.

Pada Januari 2018, DSO menawarkan tender kerja bangunan kepada empat kontraktor, dan tiga daripadanya WLE subkontraktor.

Pada September 2018, kontrak itu dianugerahkan kepada salah satu daripada tiga firma itu.

Projek itu bernilai lebih $46 juta, dengan subkontrak mekanikal dan kejuruteraan bernilai $31.7 juta.

Dokumen mahkamah menyatakan antara Oktober 2018 dengan Februari 2019, Lee memberi Poh sekurang-kurangnya $150,000 sebagai ganjaran dengan bantuan seorang pengarah Malaysia daripada syarikat lain.

Skim itu terbongkar selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menerima maklumat pada Februari 2023 bahawa Poh didakwa menerima ganjaran daripada kontraktor.

Chua dipanggil untuk disoal siasat dan mengaku peranannya.

Kes terhadap Poh dan Lee masih dijalankan.

Semasa pendengaran hukuman pada 16 Oktober, Hakim Daerah Paul Chan membenarkan sebahagian permohonan Chua untuk menangguhkan hukuman.

Chua memohon penangguhan sehingga Februari 2027 supaya dia dapat meraikan hari lahir ke-100 ibunya pada November.

Chua kini bebas dengan jaminan $100,000 dan dijangka mula menjalani hukumannya pada 23 November.

Atas kesalahan rasuah, dia boleh dipenjarakan sehingga lima tahun dan didenda $100,000.

Mereka yang mahu melaporkan rasuah kepada CPIB boleh melakukannya di laman web CPIB atau hubungi talian 1800-376-0000.

Mereka juga boleh menghantar e-mel ke report@cpib.gov.sg atau melawat atau menulis kepada ibu pejabat CPIB di 2 Lengkok Bahru.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti