Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas badan Melayu/Islam S’pura di Dubai meninggal, sifat sedia membantu diingati

Pengasas Singapore Malay-Muslim Group, Allahyarham Ahmad Fuad Abu Bakar, banyak bantu warga baru berhijrah ke UAE
Jan 3, 2025 | 5:50 PM
Encik Ahmad Fuad Abu Bakar, yang banyak menabur budi dan bakti kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), meninggal dunia pada 2 Januari.
Encik Ahmad Fuad Abu Bakar, yang banyak menabur budi dan bakti kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), meninggal dunia pada 2 Januari. - Foto MARYAM AHMAD FUAD

Ketua masyarakat Melayu/Islam di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang telah banyak menabur bakti, Encik Ahmad Fuad Abu Bakar, 71 tahun, meninggal dunia pada 2 Januari.

Beliau meninggal sekitar 7.48 malam di Hospital Besar Changi (CGH), dikelilingi oleh keluarga terdekat dan meninggalkan isteri dan dua anak perempuannya, serta tiga cucu.

Ramai daripada mereka yang pernah menetap di Dubai dan yang kini menetap di kota itu memberi penghargaan di atas sumbangan beliau di media sosial. 

Solat jenazah diadakan di dua lokasi.

Ribuan anggota jemaah mendirikan solat jenazah di Masjid Istighfar, Paris Ris, dan lebih ramai lagi anggota jemaah mendirikan solat jenazah ghaib di Masjid Sultan pada 3 Januari. 

Pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian 2023, Encik Shahrin Abdol Salam, yang pernah menetap di Dubai berkata Allahyarham Ahmad Fuad adalah antara mereka yang pernah mengajarnya tentang nilai dan kepentingan untuk sentiasa memberi kembali kepada masyarakat.

Allahyarham turut menitikberatkan sikap merendah diri dan sering meraikan kejayaan masyarakat Melayu/Islam.

Encik Shahrin pernah menetap di Dubai dari 2008 hingga 2010 dan buat kali kedua pada 2012 hingga 2016.

“Allahyarham menjadi tonggak sokongan kepada ramai pendatang baru Singapura yang tiba di Dubai dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Ini termasuk mereka yang bukan beragama Islam, memastikan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, membuatkan mereka berasa selesa seperti di tanah air sendiri.

“Beliau juga merupakan anggota pengasas Singapore Malay-Muslim Group (SMG), dan mantan Presiden SMG, yang telah bekerja rapat dengan konsulat dan Kedutaan Singapura di UAE – memupuk ikatan masyarakat di kalangan warga Singapura di UAE.”

Mantan Konsul-General Singapura di Dubai, Encik Ming Foong Cheong, turut berduka cita dengan berita pemergian Allahyarham Ahmad Fuad dan meninggalkan komen di hantaran Facebook Encik Shahrin.

Beliau menyatakan: “Takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga beliau.

“Beliau sememangnya tonggak masyarakat Singapura di Dubai, sentiasa bersedia untuk bangkit dan mendekatkan masyarakat.”

Anaknya, Cik Maryam Ahmad Fuad, 29 tahun, yang kini bekerja di Arab Saudi, sempat pulang sebelum bapanya meninggal dunia.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Cik Maryam berkongsi bapanya menubuhkan SMG atas dasar keperluan untuk membantu dan memperkasa masyarakat Melayu/Islam di sana dengan mengutamakan sifat gotong-royong.

“SMG ditubuhkan pada 2006 kerana ada keperluan penting. Pada masa itu ada sekumpulan warga Singapura yang telah datang ke Dubai setelah menjual rumah mereka kerana dapat tawaran bekerja.

“Malangnya, mereka tertipu dalam satu scam dan sebenarnya tidak ada pekerjaan untuk mereka di Dubai, jadi bapa saya dan kawan-kawannya di Dubai membantu mereka,” kata Cik Maryam. 

Menurut balunya, Cik Zawahir Ali, 64 tahun, Allahyarham telah berada di rantauan sejak 1981, bermula di Arab Saudi.

Sejak 1985, beliau telah ke Dubai dan bekerja di syarikat petrokimia dengan dorongan dan doa restu ibunya.

“Beliau selalu beritahu saya, ibunya selalu mengingatkannya supaya membuat beliau bangga, dan jangan putuskan silaturahim,” kata Cik Zawahir yang turut berkongsi bahawa Allahyarham sering pulang ke Singapura untuk meraikan majlis kerja kahwin, supaya dapat bertemu keluarga dan sanak saudara.

“Rumah kami di Dubai seperti kelab masyarakat – sesiapa saja boleh datang dan tinggal di rumah kami, jika mereka perlukan penginapan sementara,” tambahnya lagi. 

Allahyarham telah bersara pada 2020 dan terus menetap di Dubai dan berulang-alik ke Singapura untuk bertemu keluarga dan mendapatkan rawatan perubatan.

Cef bertaraf antarabangsa, Cef Akmal Anuar, yang juga pemenang Anugerah Jauhari 2024, yang berpangkalan di Dubai turut bersedih atas pemergian Allahyarham. 

“Saya sekeluarga tiba di Dubai pada 2013 dan kami dijemput ke rumahnya untuk perhimpunan kecil.

“Beliau mengajak saya dan keluarga bertemu dengan rakan baru di sini. Beliau sering bertanya khabar dan menjemput kami ke acara dan perhimpunan.

“Allahyarham adalah jambatan (penghubung) kepada kami. Komitmennya yang tidak henti untuk masyarakat adalah luar biasa.

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar – insan yang baik, mulia dan luar biasa. Kami akan amat merinduinya,” kata Cef Akmal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg