Topic followed successfully
Go to BHkuPengasas restoran The Malayan Council didakwa isytihar secara palsu gaji pekerja
Pengasas restoran The Malayan Council didakwa isytihar secara palsu gaji pekerja
Pengasas restoran The Malayan Council didakwa isytihar secara palsu gaji pekerja
PENGASAS sebuah rangkaian restoran terkenal di Singapura dihadapkan ke mahkamah pada Khamis (17 November) kerana didakwa mengisytiharkan secara palsu gaji pekerjanya dan berbohong kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan Mohamad Hafiz Salim Alkhatib, 37 tahun, menghadapi sejumlah 41 tuduhan di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing.
Mohamad Hafiz adalah pemilik H. Alkhatib, sebuah perniagaan restoran yang berdaftar di alamat 22 Dunlop Street, yang merupakan alamat salah sebuah cawangan kafe The Malayan Council.
Malayan Council terkenal dengan hidangan dan kek 'fusion' atau gabungan cara masakan Melayu-Barat. Pada masa ini, ia mempunyai empat cawangan di Dunlop Street, Bussorah Street, Winstedt Road dan Esplanade Mall.
Sebagai contoh, kek ondeh-ondehnya mendapat sambutan amat menggalakkan.
Hafiz didakwa berbohong kepada pihak berkuasa mengenai gaji pekerjanya dalam pengisytiharan permohonan pas kerja, dan turut menghasut 13 daripada mereka berbohong kepada MOM pada 2019.
Seramai 13 pekerja terbabit dalam perihal ini dan mereka memegang jawatan daripada pengurus restoran dan penyelia kepada eksekutif perkhidmatan pelanggan.
Tuduhan yang melibatkan seorang daripada 13 pekerja itu menyatakan Hafiz membayar pekerja itu kurang $200 daripada sewajarnya setiap bulan berbanding gaji yang diisytiharkan antara Februari dengan Ogos 2019.
Hafiz juga didakwa menghasut Cik Sheikhah Mumtaz Sheikh Mustafa, pengarah The Malayan Council, untuk berbohong kepada pihak berkuasa mengenai pas kerja pekerja sebanyak tiga kali.
Dia juga didakwa menggajikan dua lagi pekerja asing di cawangan Bussorah Street, The Malayan Council, tanpa pas kerja yang sah pada 2019.
Hafiz, yang kini diikat jamin $15,000, telah diwawancara media beberapa kali sejak 2015 untuk mempromosikan The Malayan Council.
Menurut rekod mahkamah, isterinya akan bersalin tidak lama lagi, dan peguamnya telah meminta penangguhan agar kes ini diberi lebih masa untuk dikemukakan.
Rekod itu juga menyatakan bahawa terdapat "kemungkinan (a) tempoh tahanan yang panjang disebabkan oleh (sifat) kesalahan".
Kes itu dijangka diketengahkan semula pada 27 Disember.
Jika disabitkan kesalahan membuat pengisytiharan pekerjaan palsu, dia boleh dipenjarakan sehingga dua tahun dan didenda sehingga $20,000 bagi setiap tuduhan. - The Straits Times
