Pengasas syarikat pengendali pusat makanan dan kedai kopi, Koufu Group, Encik Pang Lim, telah menderma $50,000 kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) yang menyokong kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Sebahagian daripada pendapatan itu diperoleh menerusi jualan bukunya, Yan Huo Sui Yue Zi Zai Xing (Menikmati Kehidupan dengan Tenang dalam Kesederhanaan Sehari-hari). 

Encik Pang, yang juga pengerusi kumpulan syarikat tersebut, mengkhaskan beberapa naskhah biografinya itu untuk jualan amal. 

Setakat ini, sebanyak 1,371 naskhah telah terjual, mengumpulkan $36,552.11 dalam hasil jualan kasar. Encik Pang membuat sumbangan tambahan secara peribadi untuk menjadikan jumlah derma keseluruhan kepada $50,000.

Cek bagi jumlah tersebut disampaikan sempena satu majlis di ibu pejabat Koufu di Woodlands pada 19 November.

Diterbitkan pada 28 November 2025, buku edisi terhad Encik Pang itu merupakan sebahagian daripada koleksi istimewa sempena ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), yang meraikan semangat ketabahan dan perpaduan masyarakat di sini, serta memberikan gambaran mengenai pengalaman hidup dan perjalanan perniagaannya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang menyokong buku ini dan menyumbang kepada usaha yang bermakna ini,” kata Encik Pang. 

“Derma sebanyak $50,000 ini adalah cara saya membalas jasa kepada masyarakat yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan hidup saya, dan saya berharap sumbangan ini dapat memberi semangat serta bantuan praktikal kepada para pelajar yang disokong oleh STSPMF.”

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

STSPMF ditubuhkan pada 2000 bagi menyediakan wang saku kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk membantu mereka sepanjang tempoh persekolahan. 

Sejak penubuhannya, ia telah membantu lebih 230,000 kanak-kanak dan belia, serta menyalurkan lebih $110 juta.

Penerima muda tersebut berasal daripada keluarga yang mempunyai pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak melebihi $1,000 bagi setiap anggota keluarga. 

Murid sekolah rendah menerima $65 sebulan, pelajar sekolah menengah menerima $100 sebulan, manakala pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), maktab rendah dan politeknik menerima $125 sebulan.