WALAUPUN perniagaan pengasas dan Ketua Eksekutif Mini Environment Service (MES) Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel, terjejas akibat pandemik Covid-19, ia tidak mematahkan semangat dermawannya untuk terus membantu golongan susah.
Memahami peritnya golongan susah dalam menempuhi krisis ini, beliau menderma $500,000 kepada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Timessemalam.
Dana itu dimulakan pada 2000 bagi menyediakan wang saku kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Duit itu digunakan bagi membeli makanan di sekolah dan membayar kos pengangkutan atau keperluan sekolah yang lain.
Encik Jaleel menyampaikan cek bagi sumbangan beliau pengerusi dana itu, Encik Warren Fernandez, yang juga Editor The Straits Times merangkap Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris, Melayu dan Tamil (EMTM), Singapore Press Holdings.
"Ketika mengalami krisis, kebanyakan kita akan mengalami tekanan emosi dan mental. Sumbangan ini saya berharap dapat membantu golongan memerlukan bagi mengatasi kesusahan mereka agar mereka dapat menumpukan tenaga dan perhatian pada pelajaran mereka," kata Encik Jaleel ketika ditanya peri penting sumbangannya.
Encik Jaleel tahu peritnya hidup susah kerana beliau pernah menjadi pekerja pembersihan semasa kecil.
Melihat kehidupan bapanya yang susah sebagai peniaga kedai mamak di Stamford Road, beliau berhenti sekolah untuk melakukan kerja buruh sekitar pertengahan 1970-an.
Kini, jutawan itu mengendalikan pelbagai perniagaan, termasuk dormitori pekerja, logistik dan hotel.
Encik Jaleel telah menyumbang sekitar $4.5 juta kepada dana itu sejak 2010.
"Sekiranya seseorang itu dapat memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun secara kecil-kecilan, ia tetap akan membantu dan memberi kesan kepada masyarakat tersebut secara keseluruhan.
"Yang penting ialah inisiatif dan langkah pertama untuk memberi," nasihatnya kepada masyarakat umum.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg