PEMANDU kenderaan elektrik akan dapat memeriksa dalam masa nyata jika sekitar 700 tempat mengecas ada untuk digunakan melalui aplikasi MyTransport.SG.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memperkenalkan satu ciri baru pada 28 November lalu yang membolehkan pengguna aplikasi itu berbuat demikian sebagai sebahagian daripada percubaan untuk menyertakan maklumat mengenai ketersediaan pengecas kenderaan elektrik pada masa nyata.
Ia berkata pengguna boleh mendapatkan maklumat sedemikian untuk hampir separuh daripada sekitar 1,400 tempat mengecas yang disenaraikan pada aplikasi itu.
Tempat mengecas itu dimiliki ComfortDelGro Engie dan SP Mobility, dua pengendali pertama yang menyertai percubaan tersebut.
LTA berkata ia sedang bekerjasama dengan lebih banyak pengendali pengecasan untuk memasukkan data pengecas mereka di bawah percubaan itu, yang disebut oleh Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, bulan lalu ketika Parlimen membahaskan Rang Undang-undang Pengecasan Kenderaan Elektrik.
Buat masa ini terdapat sembilan pengendali yang disenaraikan di aplikasi MyTransport.SG, masing-masing dengan aplikasi bebas dan aturan pembayaran mereka sendiri.
Secara keseluruhan, terdapat lebih 3,600 tempat mengecas, dengan 12,000 lagi akan dipasang di semua tempat letak kereta Lembaga Perumahan menjelang 2025.
Singapura merancang melancarkan 60,000 tempat mengecas di seluruh negara menjelang 2030.
Buat masa ini, pemandu perlu mendaftar dengan perkhidmatan mengecas kenderaan elektrik individu untuk mengetahui lokasi dan adanya pengecas, yang merupakan satu kesulitan.
Pada peringkat percubaan ini, status pengecas boleh mengambil masa beberapa minit untuk ditunjukkan pada aplikasi MyTransport.SG.
Ketua mobiliti di SP Group, Encik Dean Cher, berkata pengendali dan LTA sedang berusaha untuk mengurangkan kelengahan untuk maklumat dipaparkan pada aplikasi itu, untuk menjadikannya "sedekat mungkin kepada maklumat masa nyata" tahun depan.
Beberapa syarikat pengecas kenderaan elektrik yang lebih kecil melihat manfaat berada dalam aplikasi MyTransport.SG.
Airetec berkata ia baru sahaja memulakan proses untuk menyenaraikan 10 lokasi pengecasnya di aplikasi itu untuk menjangkau pengguna kenderaan elektrik yang sebaliknya tidak akan tahu tentang mereka atau aplikasi Spectra Moon mereka sendiri.
Aplikasi MyTransport.SG yang terkini dilancarkan pada 2018 untuk membantu penumpang merancang perjalanan pengangkutan mereka.
Mac lalu, ia menambahkan maklumat tentang lokasi pengecas kenderaan elektrik.
Pengguna telah dapat menapis rangkaian pengecas menurut kelajuan pengecas sejak Ogos lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg