DUA minggu setelah syarikat teksi ComfortDelGro memutuskan untuk menaikkan tambang mulai 1 Mac, pengendali teksi lain seperti Trans-Cab, Prime Taxi, Premier Taxi dan Strides Taxi bakal menyusul.
Satu kenyataan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) semalam mengesahkan para pengendali itu telah memaklumkan PTC mengenai keputusan mereka menaikkan tambang. Tiada butiran didedahkan.
Pengendali demikian perlu memberitahu penumpang tentang tambang baru sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perubahan dilaksana.
Akhbar The Straits Times telah melaporkan sebelum ini bahawa pengendali teksi lain kemungkinannya mengikuti langkah ComfortDelGro awal bulan ini.
Dalam perubahan tambang terakhir pada 2011, Trans-Cab, Prime Taxi, Premier Taxi dan Strides Taxi semuanya menaikkan tambang mula, atau 'flag down fare', setelah ComfortDelGro menaikkan tambang teksi biasa sebanyak 20 sen dan tambang jarak sebanyak dua sen.
Kali ini, tambang mula teksi ComfortDelGro juga akan meningkat sebanyak 20 sen.
Caj berdasarkan masa dan jarak juga akan meningkat, dengan kenaikan dua sen bagi setiap 400 meter (atau 350m setelah 10km) dan kenaikan dua sen bagi setiap 45 saat masa menunggu untuk teksi biasa.
ComfortDelGro berkata, kenaikan tambang itu adalah untuk menanggung kos operasi yang lebih tinggi disebabkan harga minyak yang semakin meningkat - sejak pertengahan 2020 - dan inflasi, serta untuk menyokong pendapatan pemandu teksi yang merosot dengan jumlah penumpang menaiki teksi masih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Trans-Cab mendedahkan, tambang mula bagi teksi biasa akan dinaikkan sebanyak 20 sen, dan caj berdasarkan jarak dan masa meningkat sebanyak dua sen.
Bagi teksi jenis mewah atau limusin pula, tambang mula teksi kekal sama tetapi caj berdasarkan jarak dan masa meningkat sebanyak dua sen.
Perubahan kepada tambang ini akan dilaksana mulai 8 Mac ini.
Menurut jurucakap Trans-Cab, kenaikan tambang adalah disebabkan "peningkatan kos operasi pemandu teksi."
Tambang teksi sudah tidak lagi dikawal selia sejak 1998, yang bermakna PTC tidak campur tangan dalam menetapkan tambang teksi dan kereta sewa persendirian (PHC).
Pengendali PHC dan teksi perlu memaklumkan PTC tentang kenaikan tambangnya supaya harga kekal nyata dan penumpang tahu tentang caj tambahan yang mungkin dikenakan apabila mereka mendapatkan khidmat teksi.
"Ini membolehkan permintaan dan bekalan untuk khidmat sebegitu untuk dipadankan secara cekap berdasarkan keadaan pasaran sedia ada, sambil mendorong pengendali untuk memperbaiki tawaran perkhidmatan mereka dna untuk mengekalkan daya saing dalam tambang mereka," kata PTC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg