Untuk sampai ke destinasinya, seorang pemandu melintasi empat lorong dan memotong garisan putih berkembar di simpang dekat Sims Avenue East selepas dia keluar dari Lorong Sarina.
Akibat tergesa-gesa, Mohammed Shahrin Shamsuddin, seorang pengerusi masjid di sini, gagal menyedari kehadiran seorang penunggang basikal di lorong pertama, lantas melanggarnya.
Dalam kejadian pada 11 malam pada 11 Mac 2024 itu, penunggang basikal tersebut mengalami patah tulang yang pelbagai berserta luka, lapor The Straits Times (ST).
Mohammed Shahrin, 55 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada 27 Februari selepas dia mengaku memandu tanpa mengambil kira pengguna jalan raya lain.
Dia juga hilang kelayakan memegang atau mendapatkan semua kelas lesen memandu selama lima tahun.
Mahkamah diberitahu Shahrin baru sahaja membelok dari Lorong Sarina ke Sims Avenue East, di satu simpang tanpa isyarat, apabila dia beralih dari lorong pertama ke lorong keempat.
Ketika berbuat demikian, Shahrin memotong lorong bergarisan putih berkembar – satu kesalahan yang melanggar peraturan lalu lintas.
Ketika menghampiri lorong pertama dari lorong keempat, Shahrin gagal menyedari bahawa dia telah memandu ke laluan penunggang basikal yang sedang menghampiri, sehingga mengakibatkan perlanggaran.
Penunggang basikal berusia 49 tahun itu patah tulang di leher dan tulang selangka.
Beliau dimasukkan ke hospital selama enam hari selepas pembedahan, sebelum dibenarkan keluar dan diberi cuti rawatan hospital 49 hari.
Mahkamah juga diberitahu bahawa Shahrin mempunyai rekod kesalahan lalu lintas, termasuk memandu laju, memandu secara tidak bertimbang rasa dan membuat pusingan U yang tidak dibenarkan.
Diminta mengulas mengenai kes itu pada 14 November 2024, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memberitahu ST bahawa ia mengetahui tentang kemalangan tersebut dan pertuduhan yang Shahrin hadapi.
Muis turut menasihatkan semua sukarelawan dan kakitangan masjid supaya mematuhi undang-undang.
Pada 17 Oktober 2024, seorang pemandu teksi, Lim Hoon Chiang, 56 tahun, dijatuhi hukuman penjara seminggu kerana melanggar seorang penunggang basikal, menyebabkan mangsa mengalami keretakan di bahagian kepala dan darah di dalam otak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg