Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed, 71 tahun telah meninggal dunia pada 14 November.
Allahyarham meninggalkan balunya, lima anak dan lapan cucu.
Dalam satu hantaran mesej WhatsApp kepada wartawan, keluarga Allahyarham melahirkan rasa sedih di atas pemergian Allahyarham.
“Dengan dukacitanya kami mengumumkan pemergian Haji Alla’udin yang disayangi.
“Beliau kembali kepada Allah, meninggalkan warisan khidmat yang tidak kenal erti penat, dedikasi dan belas kasihan buat masyarakat.
“Kami mohon anda mendoakan rohnya, semoga Allah swt mengasihaninya, memaafkan segala dosanya, dan menaikkan darjatnya yang tinggi di Jannah.
“Semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran kepada keluarganya dan orang-orang tersayang semasa masa sukar ini,” kata mesej tersebut.
Jenazah beliau dibawa pulang dari Hospital Besar Changi (CGH) ke rumahnya untuk dimandikan, sebelum dibawa ke Masjid Khalid untuk disolatkan selepas solat zuhur.
Mereka yang ingin menziarah dan memberi penghormatan terakhir, diminta ke Masjid Khalid pada 12.30 pada 14 November, kata mesej itu lagi.
Jenazah kemudian akan dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Allahyarham sebelum ini dalam keadaan tidak sedar selepas dimasukkan ke wad Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Besar Changi (CGH) pada 12 November.
Sebelum ini, jurucakap keluarga beliau dalam mesej WhatsApp kepada wartawan pada 13 November menyatakan bahawa Encik Allau’din dalam keadaan kritikal di hospital.
Naib Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin, dalam satu panggilan telefon dengan Berita Harian (BH) pada 13 November berkata Encik Alla’udin dikejarkan ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) CGH dari rumahnya sekitar 1 petang pada 12 November sebelum dipindahkan ke wad ICU.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg