Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengerusi Masjid Khalid dalam keadaan tidak sedar, masih di ICU

Nov 13, 2024 | 1:11 PM
Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed (gambar), kini masih berada dalam keadaan tidak sedar di wad Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Besar Changi (CGH).
Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed (gambar), kini masih berada dalam keadaan tidak sedar di wad Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Besar Changi (CGH). - Foto fail

Pengerusi Masjid Khalid, Encik Alla’udin Mohamed, 71 tahun, masih berada dalam keadaan tidak sedar selepas dimasukkan ke wad Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Besar Changi (CGH) pada 12 November.

Jurucakap keluarga beliau dalam mesej WhatsApp kepada wartawan menyatakan bahawa Encik Allau’din masih dalam keadaan kritikal di hospital.

“Di sebalik usaha terbaik pasukan perubatannya, keadaannya terus lemah dan kami masih mendoakan kesejahteraannya.

“Pada ketika ini, kami mohon masyarakat untuk sama-sama mendoakannya demi keselesaan dan kemudahan untuk beliau dan agar keluarganya diberi kekuatan dan kesabaran.

“Kami akan berikan maklumat terkini selagi ada. Terima kasih atas sokongan anda,” kata jurucakap itu, yang turut meminta agar diberi ruang dan privasi pada masa sukar ini.

Sementara itu Naib Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin, dalam satu panggilan telefon dengan Berita Harian (BH) berkata Encik Alla’udin dikejarkan ke jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) CGH dari rumahnya sekitar 1 petang pada 12 November sebelum dipindahkan ke wad ICU.

Menurutnya, doktor berkata terdapat pendarahan di dalam otak Encik Alla’udin setelah pihak hospital melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

Akaun rasmi Facebook Masjid Khalid turut mengumumkan keadaan genting Encik Alla’udin pada 12 November sekitar 6 petang.

Hantaran itu dibanjiri ucapan selamat daripada netizen, termasuk beberapa pemimpin masyarakat Melayu/Islam Singapura seperti Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani.

Pada April 2023, satu biasiswa yang dinamakan Biasiswa Allau’din-Masjid Khalid dilancarkan hasil kerjasama Masjid Khalid dan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Biasiswa itu ditubuhkan untuk memberi penghormatan dan mengiktiraf sumbangan Encik Allau’din yang telah berkhidmat sebagai pengerusi masjid itu sejak 30 tahun lalu.

Menurut Dr Ariffin, Masjid Khalid, di bawah pimpinan Encik Allau’din, dijadual terlibat dalam beberapa projek kemasyarakatan pada penghujung 2024.

Antaranya ialah satu kerjasama dengan pemerintah untuk mengumpul dana bagi penduduk Gaza pada 24 November, serta membantu memasak untuk satu majlis qasidah di Masjid Jamek Sultan Ismail di Batu Pahat, Johor pada 30 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg