BELIAU berada di Masjid Mydin setiap hari pada setiap waktu solat.
Malah sehari sebelum beliau meninggal dunia, Pengerusi Masjid Mydin, Encik Amin Hamzah, telah memberitahu kakitangan masjid itu bahawa beliau akan bertemu mereka sekali lagi keesokan harinya.
Namun niatnya tidak kesampaian.
Allahyarham Encik Amin telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam pada usia 63 tahun.
Ini disahkan anaknya, Encik Faris Amin, 30 tahun semasa dihubungi Berita Harian semalam.
Menurut Encik Faris, Allahyarham rebah di rumahnya awal pagi.
Allahyarham meninggalkan balu, Hajah Fauziah Jurimi dan tiga anak lelaki, Encik Akid, Encik Faris dan Encik Amshar.
Menurut Encik Faris, jenazah disolatkan di Masjid Mydin dan disemadikan di Pusara Abadi tengah hari semalam.
"Keluarga kami amat menghargai segala sokongan dan juga ucapan takziah yang kami terima.
"Kami harap anda semua dapat terus memperingatinya dalam doa," katanya.
Allahyarham Encik Amin telah berkhidmat sebagai pengerusi di Masjid Mydin selama 11 tahun sejak 2010.
Sebelum itu, beliau menyumbang tenaga di Masjid Al-Istighfar dari 2003 hingga 2010.
Pengurus Masjid Mydin, Cik Siti Sujidah Abdullah, berkata berita tersebut mengejutkan ramai kakitangan masjid tersebut.
"Beliau sebelum ini hadir di masjid seperti biasa setiap hari, jadi memang kami semua amat terkejut dengar berita pemergiannya," katanya.
Menurut Cik Siti, yang telah bekerja rapat dengan Allahyarham sepanjang 11 tahun, Allahyarham selalu akan mengutamakan keperluan jemaah dan juga kakitangan masjid sebagai pengerusi.
"Memang kita kehilangan tokoh yang cukup baik dalam masyarakat," katanya.
Pengerusi Masjid Al-Istighfar, Encik Azman Ariffin, menyifatkan arwah sebagai seorang yang cukup ceria dan selalu ingin membantu.
Menurutnya, beliau mula mengenali arwah lebih 20 tahun lalu semasa terlibat dalam kegiatan akar umbi bersama sebelum Haji Amin dilantik sebagai pengerusi Masjid Al-Istighfar.
"Saya agak terkejut apabila diberitahu beliau telah meninggal dunia kerana baru dua tiga hari lalu saya berjumpanya untuk membincangkan kegiatan masjid sebab beliau ingin membantu.
"Untuk itu, agak sukar untuk kami terima berita kematiannya meskipun beliau tiada lagi," ujarnya.
Rakan Allahyarham, yang juga pengasas syarikat Airmark Aviation di tempat beliau bekerja, Encik Mohd Yunus Ishak, berkata:
"Memang kita kehilangan orang yang cukup baik, berhati mulia dan lemah lembut.
"Tak pernah berkira dan cukup dermawan dan banyak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg