Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengetahuan awam tentang jagaan paliatif masih kurang

Oct 10, 2024 | 4:22 PM
(Dari kiri) Pengarah dan moderator program bersekutu Yayasan Lien, Cik Yang Hui Wen; ketua eksekutif Yayasan Lien, Encik Lee Poh Wah; ketua Bahagian Sokongan dan Penjagaan Paliatif Singapura dan perunding kanan, Cik Shirlynn Ho; pengarah pendidikan Pusat Penjagaan Paliatif Lien, Cik Alethea Yee; perunding kanan perubatan paliatif, Encik Neo Han Yee dan ketua pembangunan klinikal Yayasan Rawatan di Rumah, Encik Ng Wai Chong dalam perbincangan panel semasa acara pelancaran program ‘Pulse Palliative Care’ di Yayasan Lien, Wisma Atria pada 9 Oktober.
(Dari kiri) Pengarah dan moderator program bersekutu Yayasan Lien, Cik Yang Hui Wen; ketua eksekutif Yayasan Lien, Encik Lee Poh Wah; ketua Bahagian Sokongan dan Penjagaan Paliatif Singapura dan perunding kanan, Cik Shirlynn Ho; pengarah pendidikan Pusat Penjagaan Paliatif Lien, Cik Alethea Yee; perunding kanan perubatan paliatif, Encik Neo Han Yee dan ketua pembangunan klinikal Yayasan Rawatan di Rumah, Encik Ng Wai Chong dalam perbincangan panel semasa acara pelancaran program ‘Pulse Palliative Care’ di Yayasan Lien, Wisma Atria pada 9 Oktober. - Foto ST

Walaupun majoriti warga Singapura dapat mengenal pasti penjagaan paliatif sebagai meringankan penderitaan pesakit menghidap penyakit serius, tinjauan baru-baru ini mendapati masih ramai mempunyai tanggapan mengenainya.

Kurang daripada separuh responden memahami skop penuh penjagaan paliatif, iaitu bagi meningkatkan mutu hidup dan meringankan kesengsaraan pesakit yang menghidap penyakit serius – yang tidak semestinya menghampiri maut.

Tinjauan ‘Pulse on Palliative Care’ (Nadi pada Penjagaan Paliatif), yang ditugaskan pertubuhan keluarga Yayasan Lien dan dijalankan pada Julai termasuk kuiz untuk menguji pengetahuan orang awam tentang penjagaan paliatif.

Tinjauan dalam talian ke atas 1,000 penduduk Singapura itu dijalankan dengan kerjasama firma data dan analitik Kantar. Dapatannya dikongsi bersama media pada 9 Oktober, lapor The Straits Times.

Walaupun lebih 80 peratus responden mengenal pasti dengan betul bahawa matlamat penjagaan paliatif ialah memaksimumkan mutu hidup dan membantu keluarga pesakit yang menghidapi penyakit serius, kurang daripada separuh mempunyai pemahaman penuh tentang fungsinya.

Sekitar 56 peratus responden mempunyai tanggapan salah bahawa penjagaan paliatif terhad untuk pesakit yang tenat, manakala 48 peratus mempunyai tanggapan salah bahawa memilih penjagaan paliatif bermaksud menghentikan semua rawatan perubatan lain.

Singapura sedang meningkatkan kapasiti penjagaan paliatif nasional, dengan bilangan doktor perubatan paliatif ditambah hampir seganda, daripada 47 pada 2014 kepada 88 pada 2024.

Di Singapura, penjagaan paliatif selalunya bermula lewat, dengan tempoh median keseluruhan penjagaan paliatif dari pesakit dirujuk doktor hingga kematian ialah 22 hari.

Meskipun tujuh daripada 10 responden berkata mereka pernah mendengar tentang penjagaan paliatif, hanya 31 peratus berkata mereka tahu mengenainya.

Sumber maklumat mereka kebanyakannya daripada kenalan peribadi, diikuti media massa, dan pakar perubatan.

Tinjauan 2024 itu, yang turut dijalankan di 11 negara lain di rantau Asia-Pasifik, mendapati kesedaran keseluruhan di Singapura berkenaan penjagaan paliatif masih jauh di belakang negara seperti Thailand, Jepun dan Australia. 

Namun, kebanyakan mereka yang menerima rawatan paliatif memberi maklum balas positif.

Terdapat usaha yang semakin meningkat untuk memastikan penjagaan paliatif bermula lebih awal dalam trajektori penyakit.

Sebagai contoh, Yayasan Lien bekerjasama dengan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) untuk melancarkan perkhidmatan ‘Air Master’ pada November 2023, yang mengandungi sesi pemulihan kardiopulmonari dan latihan senaman.

Perkhidmatan itu telah membantu lebih 70 pesakit yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru kronik, termasuk menguruskan simptom mereka dan memperkasa mereka untuk terus berdikari.

Dr Neo Han Yee, perunding kanan perubatan paliatif di TTSH, berkata penjagaan paliatif sebaiknya dimulakan apabila pesakit disahkan menghidap penyakit kronik yang berkemungkinan mengehadkan jangka hayat, dan apabila simptomnya mula menjejas keupayaan mereka menanganinya di rumah.

Pesakit sebegini akan mendapat manfaat daripada program pemulihan untuk mempertingkatkan keupayaan mereka.

Ketua eksekutif Yayasan Lien, Encik Lee Poh Wah, berkata: “Orang ramai sering mengaitkan penjagaan paliatif dengan penjagaan pesakit tenat, mengabaikan fungsinya yang lebih luas.”

“Pesakit dan penjaga mungkin teragak-agak untuk mendapatkan rawatan paliatif kerana tanggapan salah bahawa ia serupa berputus asa terhadap rawatan dan harapan. Lebih banyak manfaat boleh diraih jika kita memulakan penjagaan paliatif lebih awal,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg