Sebanyak 46 sekolah akan menerima pengetua baru pada permulaan tahun persekolahan 2025, sebagai sebahagian rombakan tahunan Kementerian Pendidikan (MOE).
Daripada pelantikan ini, kira-kira separuh – 22 pengetua – akan mengambil peranan itu buat kali pertama.
Mereka akan menyertai pengetua baru yang lain di 22 sekolah menengah dan 24 sekolah rendah.
Salah seorang daripada mereka ialah Encik Julian Lew, naib pengetua Sekolah Menengah St Hilda’s.
Beliau akan mengambil alih sebagai pengetua daripada Cik Janice Heng, yang akan digilirkan ke Sekolah Menengah Montfort sebagai pengetua.
Encik Lew, 49 tahun, memberitahu The Straits Times pada 9 Oktober bahawa beliau amat berbesar hati mengambil alih jawatan pengetua di sekolah yang mempunyai sejarah yang kaya dan asas kukuh yang diletakkan oleh bekas pengetua seperti Cik Heng.
Sekolah Menengah St Hilda’s menyambut ulang tahunnya yang ke-90 pada 2024.
Menceritakan perjalanan kerjayanya, Encik Lew berkata beliau tidak bermula sebagai seorang guru selepas tamat pengajian.
Berbekalkan ijazah dalam kejuruteraan elektrikal daripada University of New South Wales, di Australia, pada 2001, beliau menghabiskan lebih daripada tiga tahun di Sydney sebagai pengurus projek dalam perusahaan telekomunikasi.
Sekembalinya ke Singapura pada 2005, beliau menyertai Singtel.
Pada 2006, pada usia 31 tahun, Encik Lew beralih kepada tugas mengajar apabila kakaknya, seorang guru sekolah rendah, menggalak beliau mencubanya.
Sejak itu, beliau telah naik pangkat, pertama sebagai guru di Sekolah Menengah Dunman, di mana beliau mengajar reka bentuk dan teknologi, sebelum akhirnya menjadi ketua jabatan kraf dan teknologi.
Pada 2021, selepas hampir 14 tahun di sekolah itu, Encik Lew menjadi naib pengetua di Sekolah Menengah Methodist Geylang.
Beliau dilantik sebagai naib pengetua di Sekolah Menengah St Hilda’s pada 2023.
Dalam satu kenyataan, MOE berkata proses pelantikan dan penggiliran pengetua membolehkan sekolah-sekolah mendapat manfaat daripada perspektif baru dan membolehkan pengetua berpengalaman berkongsi amalan terbaik merentasi seluruh sekolah.
Kembali ke CHIJ Sekolah Perempuan St Nicholas sebagai pengetua ialah bekas pelajar, Cik Winnie Tan, 44 tahun, yang menamatkan pengajian menengahnya di sekolah itu pada 1996.
Cik Tan mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang pendidikan – daripada mengajar Ekonomi di Maktab Rendah Anderson dan Matematik di Sekolah Menengah Orchid Park, kepada menjadi pegawai projek di ibu pejabat MOE dan pengetua di Sekolah Rendah Woodlands.
Setelah menghadiri sambutan ulang tahun ke-90 sekolah itu sebagai alumni pada 2023, Cik Tan, yang akan mengambil alih tugas daripada Cik Fiona Tan pada 2025, berharap dapat membawa sekolah itu ke sambutan ulang tahun ke-100nya pada 2033.
MOE akan melantik pengetua pada Majlis Pelantikan dan Penghargaan Pengetua tahunan pada 27 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg