Beliau berhasrat mahu terus meluaskan definisi kejayaan dengan melengkapkan pelajar kecenderungan untuk belajar supaya mereka bersiap sedia menghadapi ketidaktentuan masa depan.
Ini lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang pesat berubah, evolusi teknologi dan sistem ekonomi yang rapuh.
Kata bakal pengetua Sekolah Rendah Teck Ghee, Cik Rezia Rahumathullah:
“Saya berharap dapat memainkan peranan dalam membentuk masa depan pendidikan, dengan kedua-dua kakitangan dan murid mencipta nilai baru bagi hari esok yang tidak menentu, berhubung dengan individu yang pelbagai dan merebut peluang untuk berkembang maju sambil menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.”
Cik Rezia, 45 tahun, yang sudah berkecimpung dalam bidang pendidikan selama 20 tahun, bakal mencapai satu lagi kejayaan kerjaya tahun depan apabila beliau menyandang jawatan pengetua sekolah.
Beliau merupakan antara 15 pengetua baru yang dilantik menjelang 2024.
Kementerian Pendidikan (MOE) akan melantik 52 pengetua, termasuk 15 pengetua baru dilantik, pada Majlis Pelantikan dan Penghargaan Pengetua pada 28 Disember 2023.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, MOE berkata proses pelantikan dan penggiliran pengetua membolehkan sekolah mendapat manfaat daripada perspektif baru dan membolehkan pengetua berpengalaman berkongsi amalan terbaik merentas sekolah.
“Pengetua kami akan berpeluang meluaskan pengalaman mereka dan mengukuhkan apa yang telah dilakukan di sekolah tempat mereka baru dilantik untuk pimpin,” kata MOE.
Cik Rezia, yang kini merupakan naib pengetua Sekolah Rendah Jing Shan, menganggap peranan barunya tahun depan sebagai satu ‘cabaran positif’ dan mahu berganding bahu dengan pasukan kakitangan di Sekolah Rendah Teck Ghee untuk menyiapkan para murid menjadi pelajar sepanjang hayat.
Bagi Cik Liza Rahmat, 51 tahun, beliau akan berpindah ke Sekolah Rendah Pasir Ris sebagai Pengetua bermula 2024.
Beliau, yang kini merupakan pengetua Sekolah Rendah Meridian, berkata adalah penting untuk membina kepercayaan dan hubungan yang kukuh, sama ada dengan murid, guru atau ibu bapa dan berkomunikasi secara kerap dengan mereka agar para murid dapat disediakan dengan pengalaman pembelajaran yang positif.
“Bagi saya, sekolah adalah tempat semua kanak-kanak berasa selamat, dijaga, mempunyai semangat kekitaan, rasa dihormati dan diberi kuasa supaya mereka boleh membangun dan menjadi versi terbaik diri mereka.
“Oleh kerana Sekolah Rendah Pasir Ris akan menjadi sekolah yang baru bagi saya, adalah penting bagi saya mengenali dan memahami dengan lebih baik program dan aktiviti yang sudah tersedia di sekolah tersebut bagi murid-murid di situ.
“Saya ingin memanfaatkan kekuatan sekolah tersebut, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dan membina di atas kerja baik Pengetua sedia ada untuk memimpin sekolah itu ke hadapan,” kata beliau.
Dalam pada itu, MOE juga mengumumkan bahawa 10 pengetua akan meninggalkan perkhidmatan pendidikan pada akhir 2023, sama ada kerana bersara atau tamat kontrak pekerjaan semula mereka.
“
“Saya berharap dapat memainkan peranan dalam membentuk masa depan pendidikan, dengan kedua-dua kakitangan dan murid mencipta nilai baru bagi hari esok yang tidak menentu, berhubung dengan individu yang pelbagai dan merebut peluang untuk berkembang maju sambil menyumbang kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.”“
“Oleh kerana Sekolah Rendah Pasir Ris akan menjadi sekolah yang baru bagi saya, adalah penting bagi saya mengenali dan memahami dengan lebih baik program dan aktiviti yang sudah tersedia di sekolah tersebut bagi murid-murid di situ. Saya ingin memanfaatkan kekuatan sekolah tersebut, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dan membina di atas kerja baik Pengetua sedia ada untuk memimpin sekolah itu ke hadapan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg