SEKITAR 3,200 pengewap elektronik dan lebih 17,000 pod pengisian semula yang disembunyikan dalam tiga lori berdaftar Malaysia telah dirampas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Tuas dan Woodlands pada 9 dan 13 Mei.

Pengewap elektronik dan pod pengisian semula itu dianggarkan bernilai lebih $130,000, kata ICA dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan pada Rabu (25 Mei).

Pada 9 Mei, pegawai membanteras usaha menyeludup 8,520 kepingan pod pengisian semula pengewap elektronik itu ke Singapura melalui sebuah lori.

"Pegawai di Pusat Pemeriksaan Tuas mengarah lori itu untuk pemeriksaan lanjutan dan menemui pod pengisian semula pengewap elektronik di bawah katil sementara dalam kabin kenderaan," kata ICA.

Dalam kejadian berasingan pada 13 Mei, terdapat dua usaha menyeludup pengewap elektronik dan pod pengisian semula dalam dua lori - satu di Pusat Pemeriksaan Tuas dan satu lagi di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Pegawai Pusat Pemeriksaan Tuas menemui beg hitam yang kononnya diubah sebagai katil sementara dalam salah sebuah kabin lori itu. Di dalamnya terdapat 3,200 kepingan pengewap elektronik pakai buang dan 6,000 pod pengisian semula.

Dalam satu lagi kes di Pusat Pemeriksaan Woodlands, para pegawai menemui beberapa gumpalan beg buang sampah berwarna hitam di bawah kerusi pemandu dan di atas kabin lori berkenaan.

Sejumlah 2,700 kepingan pod pengisian semula ditemui.

Empat lelaki Malaysia berusia antara 27 hingga 52 tahun juga sedang membantu HSA dalam siasatan..

ICA dan HSA menambah sejak April, tujuh kes menyeludup pengewap elektronik dan komponen berkaitan dalam lori berdaftar Malaysia telah dikesan di pusat pemeriksaan.

Dua lelaki Malaysia yang terlibat dalam salah satu kes ini telah setiap seorang dihukum penjara seminggu dan didenda $1,500 manakala baki enam kes pula menanti siasatan atau tindakan mahkamah.

HSA berkata import, edaran, jualan dan tawaran menjual produk tembakau tiruan atau berbahaya adalah salah di sisi undang-undang.

"Ini termasuk tembakau shisha, tembakau tanpa asap, tembakau kunyah seperti Gutkha, Khaini, Zarda, pengewap elektronik dan aksesori mereka," katanya.

Seorang pesalah boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Dia juga boleh didenda hingga $20,000, dipenjara hingga 12 bulan atau kededuanya sekali atau bagi kesalahan lanjutan..