AWAL tahun ini, ucapan "Sudah dapat vaksinasi?" biasanya kedengaran semasa orang ramai menyapa satu sama lain.
Kini, ucapan yang biasanya didengar pula ialah:
"Sudahkah anda mendapat suntikan penggalak (booster)?"
Beberapa negara termasuk Singapura, Israel, Jerman dan Perancis telah mula memberikan dos tambahan vaksin Covid-19 kepada warga emas dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah kerana kajian menunjukkan imuniti terhadap koronavirus itu berkurangan saban masa selepas dos awal.
Langkah itu telah menimbulkan perbahasan sama ada suntikan penggalak sebenarnya diperlukan dan sama ada langkah tersebut beretika dan adil.
Data baru yang muncul baru-baru ini turut menyokong hasil dapatan awal bahawa keberkesanan vaksin Pfizer dan Moderna berkurangan dalam masa beberapa bulan, dengan tambahan satu dos suntikan Pfizer boleh mengurangkan kadar jangkitan sebanyak 11 kali dan penyakit serius sebanyak 20 kali dalam kalangan warga emas.
Terdapat berbagai hujah yang menyokong dan tidak menyokong suntikan penggalak, namun apa yang membimbangkan penggubal dasar dan karyawan kesihatan adalah sama ada sains menunjukkan ia satu keperluan.
Dalam mempertimbang hal ini, tiga isu utama akan dikaji:
- Adakah tahap imuniti berkurangan?
- Adakah dos tambahan boleh membantu dan adakah ia selamat?
- Apakah kesan lebih meluas memberi suntikan tambahan kepada mereka yang sudah divaksinasi?
IMUNITI
Satu kajian baru oleh Moderna menunjukkan kadar jangkitan yang lebih tinggi di kalangan relawan Amerika Syarikat yang telah divaksinasi dengan vaksin Moderna sekitar 13 bulan lalu berbanding mereka yang mendapatkan vaksin sama sekitar lapan bulan lalu.
Syarikat yang menghasilkan vaksin itu turut melaporkan trend kadar jangkitan serius yang lebih rendah di kalangan mereka yang baru divaksinasi namun berkata hasil dapatan itu tidak ketara dari segi statistik.
Kajian di Israel juga menunjukkan bahawa individu yang telah divaksinasi dengan vaksin Pfizer lebih awal lebih mudah dijangkiti Covid-19 dan mengalami penyakit serius daripada koronavirus itu saban hari.
RISIKO
Para pakar menarik perhatian bahawa individu yang mempunyai sistem imun yang lemah tidak mampu menghasilkan tahap antibodi yang cukup tinggi walaupun sudah divaksinasi sepenuhnya.
Walaupun dengan dos ketiga, tahap antibodi mereka kekal rendah, namun dipertingkat, berbanding golongan lain yang divaksinasi, menurut kajian melibatkan pesakit pemindahan organ tubuh yang menggunakan ubat imunosupresif, yang diterbitkan di Jurnal Perubatan New England.
Hasil dapatan ini mungkin dapat menyokong secara saintifik langkah menawarkan dos tambahan kepada warga emas dan mereka yang mempunyai dua atau lebih masalah kesihatan secara serentak, walau seberapa kecil pun perlindungan yang diberi.
Namun, sama ada golongan dewasa yang sihat patut mendapatkan dos tambahan itu masih dibahaskan.
Percubaan klinikal sejauh ini menunjukkan bahawa dos tambahan tidak mempunyai sebarang kesan, menurut Profesor Rafi Ahmed dari Pusat Vaksin Emory.
Bagi kebanyakan orang, mereka akan mengalami kesan sampingan ringan, dengan segelintir orang akan mengalami isu lebih serius seperti darah beku dan masalah jantung.
Setiap dos tambahan juga boleh menyebabkan sistem imun seseorang itu 'belajar' bagaimana untuk bertahan dengan virus itu, berbanding mengenal pastinya sebagai ancaman dan berusaha memusnahkannya.
KESAN MELUAS
Dalam memutuskan sama ada untuk menawarkan suntikan penggalak atau tidak, penggubal dasar harus mempertimbang apakah matlamat mereka - untuk mencegah penyakit serius dan kematian, mengurangkan penularan atau menghentikan jangkitan?
Ketiga-tiganya memang diinginkan tetapi apakah yang paling penting?
Terdapat harapan untuk mengurangkan penularan kerana kajian sejauh ini menunjukkan bahawa golongan yang divaksinasi tidak mudah dijangkiti dan kalau pun mereka dijangkiti, jumlah beban virus dalam tubuh mereka tidak tinggi dan oleh itu mereka kurang berjangkit kepada orang lain.
Sekiranya suntikan penggalak boleh membantu mengurangkan risiko individu yang sudah divaksinasi daripada dijangkiti atau menjadi lebih berjangkit, ini juga dapat melindungi orang awam dengan lebih baik, lebih-lebih lagi mereka yang tidak boleh divaksinasi atas sebab perubatan. - The Straits Times


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg