Hasrat mendekati alam semula jadi dan menggabungkan amalan lebih mampan ke dalam kerja seninya menjadi dorongan bagi Cik Nur Fajrina Abdul Razak memburu ijazah Sarjana Sastera dalam Seni dan Ekologi di Goldsmiths, Universiti London di Britain.
Bak pucuk dicita, ulam mendatang, beliau disampaikan dengan Biasiswa Seni Majlis Seni Kabangsaan (NAC) pada 30 Julai untuk meneruskan impiannya.
Cik Nur Fajrina, yang pernah menjadi Presiden Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) dari 2020 hingga 2022 dan sekali gus presiden wanita pertama persatuan itu berharap dapat meningkatkan bukan sahaja mutu seni yang diperjuangkan, bahkan cara ia dihasilkan.
Sebagai Presiden Apad, Cik Nur Fajrina telah menerajui usaha mengarkibkan segala dokumen dan rekod sejarah persatuan itu sejak 1960-an secara digital supaya ia tidak hilang dek zaman dan dapat diakses umum.
Seniman visual yang aktif dalam seni batik sejak 2012, ingin melestarikan bentuk seni yang dianggap kian pupus tetapi dengan cara yang lebih mampan.
“Contohnya, ramai penggiat seni menggunakan bahan pewarna kimia atau sintetik kerana ia lebih mudah diperoleh.
“Yang menggunakan pewarna semula jadi, terutama di Singapura, tidak begitu ramai kerana kita tidak mempunyai akses pada tumbuhan asli.
“Bagi seniman yang telah didedahkan pada bahan-bahan alami, mereka sudah mula mengambil langkah untuk mengikut cara lebih alami.
“Boleh dikatakan terdapat kesedaran yang sedang meningkat tetapi ia akan memakan masa jika masih kurang pengetahuan tentang budaya kesenian ini untuk disebarkan.
“Oleh itu, saya ingin mendalami bagaimana ia dapat dilakukan pada masa depan,” jelasnya.
Semasa menjalani program penempatan seni di Rimbun Dahan di Malaysia selama lebih sebulan pada 2023, Cik Nur Fajrina didedahkan kepada tumbuhan asli rantau Nusantara dan hubungan di antara manusia dan tumbuhan asli.
Di Muzium Metropolitan Manila di FIlipina pula, beliau keluar dari kawasan bandar Manila untuk memerhati kehidupan dan kegiatan harian golongan yang hidup di luar bandar.
“Dari dua program penempatan seni ini, saya lebih memahami bagaimana kehidupan manusia itu terikat dengan pokok dan kepohonan dan hubungan ini bukan setakat dari segi pemakanan tetapi melibatkan aspek lain kehidupan,” katanya
Dari situlah, beliau ingin mendalami cara menggandingkan seni dalam alam sekitar dengan cara yang lebih mampan bagi kebaikan dan kesedaran masyarakat.
“Dengan meneruskan pengajian saya, saya harap dapat meningkatkan bukan sahaja bentuk seni saya, tetapi juga pendidikan seni di Singapura dan kalau boleh, lebih jauh lagi.
“Yang saya harapkan adalah untuk mengisi ruang kosong dalam pemahaman tentang etnobotani dan etnoekologi yang berkaitan dengan amalan tradisional.
“Saya juga ingin meluaskan lagi pengetahuan tentang tradisi tekstil dan seni Asia Tenggara sambil mencetuskan perbincangan kesan dunia moden ke atas dunia alami,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg