ORANG ramai kini boleh menyahaktifkan aplikasi TraceTogether di telefon bimbit mereka serta pulangkan token TraceTogether mereka ke kelab masyarakat serata negara mulai Isnin.
Perusahaan juga boleh menyahaktifkan aplikasi SafeEntry (Perniagaan) mereka.
Ini sedang pemerintah mengumumkan untuk memansuhkan penggunaan sistem menjejak kontak TraceTogether dan SafeEntry itu.
Namun, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata kedua-dua aplikasi itu akan terus ditawarkan dalam 'app store' sekiranya ia perlu dimuat turun pada masa akan datang, misalnya kalau varian Covid-19 membimbangkan (VOC) yang berbahaya muncul.
Berkata demikian semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 semalam, Encik Ong berkata butiran seperti nama, UEN perusahaan dan nombor telefon akan terus dikekalkan dalam sistem itu supaya mudah bagi individu dan syarikat mendaftar semula baginya jika sistem itu perlu digunakan lagi pada masa akan datang.
Orang ramai yang mempunyai token TraceTogether boleh memulangkannya dari Isnin hingga 12 Mac di 108 kelab masyarakat di serata negara.
Orang ramai juga boleh berbuat demikian bagi pihak anggota keluarga atau teman mereka.
"Kami menggalakkan orang ramai memulangkan token TraceTogether mereka supaya ia dapat diperbaharui dan dikitar semula sekiranya kita memerlukannya pada masa akan datang," ujar Encik Ong.
Sementara TraceTogether dan SafeEntry telah membantu dengan usaha menjejak kontak Singapura serta pelaksanaan langkah pengurusan selamat semasa fasa kritikal pandemik Covid-19, pihak berkuasa telah menghentikan penggunaannya secara bertahap apabila situasi pandemik di sini semakin stabil.
Sejak April tahun lalu, Encik Ong berkata pihak berkuasa telah berhenti memperoleh token TraceTogether daripada individu yang dijangkiti Covid-19.
Sejak Oktober lalu juga, beliau berkata pihak berkuasa tidak lagi memerlukan orang ramai menggunakan SafeEntry.
"Kementerian Kesihatan (MOH) juga telah menghapuskan semua data jejak kontak yang boleh mengenal pasti identiti pengguna daripada semua pangkalan data dan server kami.
"Data TraceTogether bagaimanapun disimpan bagi kes jenayah yang serius, kes bunuh, bagi tujuan perundangan," ujarnya.
Parlimen telah meluluskan pindaan kepada Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) pada Februari 2021 untuk menyatakan bahawa data menjejak kontak boleh digunakan bagi siasatan jenayah serius sahaja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg