Pengguna kerusi roda tua dapat tanjakan jika pintu flat ada banyak anak tangga
Pengguna kerusi roda tua dapat tanjakan jika pintu flat ada banyak anak tangga
WARGA emas pengguna kerusi roda yang tinggal di flat HDB yang mempunyai pintu dengan beberapa anak tangga boleh mendapatkan tanjakan pada separuh kedua tahun ini untuk menjadikan rumah mereka lebih mudah diakses.
Kos tanjakan - jenis mudah alih atau dipasang secara tetap - sedang dimuktamadkan, namun pemerintah akan menanggung hingga 95 peratus bil itu.
Sebelum ini, hanya flat dengan satu anak tangga di pintu utama layak mendapat subsidi bagi tanjakan yang dipasang secara tetap, di bawah program Peningkatan bagi Warga Emas Aktif (Ease) oleh HDB.
Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Kewangan Kedua, Encik Lawrence Wong, membuat pengumuman mengenai tanjakan baru itu pada Sabtu (28 April).
Beliau berkata: "Bagi (pintu) satu anak tangga, mudah, kita sudah mempunyai huraian, tetapi untuk (pintu) beberapa anak tangga, ia lebih sukar... kerana sesetengah ruang ini, tidak banyak akses atau ruang koridor."
Beliau menambah bahawa tanjakan bagi ruang itu tidak terdapat secara komersial, jadi HDB berusaha bersama jurutera selama dua tahun untuk menghasilkan reka bentuknya.
Encik Wong berkata demikian di luar acara lawatan ke kawasan Tampines Changkat di GRC Tampines. Encik Desmond Choo, penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi Tampines, menganjurkan lawatan itu.
Kos tanjakan mudah alih biasanya sekitar $700 atau kurang, sementara jenis dipasang secara tetap sekitar $1,600, menurut akhbar The Straits Times dalam talian.
Sejak Ease dilancarkan pada Julai 2012, hampir 163,000 keluarga telah memohonnya hingga bulan lalu.
Bagi memenuhi syarat memohon langsung kepada Ease, keluarga warga Singapura mesti mempunyai ahli keluarga berumur 65 tahun ke atas, atau berumur antara 60 dan 64 tahun dan memerlukan bantuan bagi sekurang-kurangnya satu kegiatan kehidupan harian.
Warga emas yang menggunakan kerusi roda dan tinggal di flat yang tanjakan atau lif kerusi roda tidak boleh dipasang boleh menghubungi HDB untuk meneroka huraian alternatif.

