Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna rugi hampir $2j pada 2024 bagi pembayaran awal khidmat tidak dilaksana

Feb 6, 2025 | 5:04 PM
Sebahagian besar kerugian yang dialami pengguna melibatkan industri ubah elok rumah. Masalah berlaku apabila kontraktor tidak dapat dihubungi semasa proses ubah elok dijalankan.
Sebahagian besar kerugian yang dialami pengguna melibatkan industri ubah elok rumah. Masalah berlaku apabila kontraktor tidak dapat dihubungi semasa proses ubah elok dijalankan. - Foto fail

Pengguna kerugian lebih $1.93 juta selepas mereka membayar lebih awal bagi perkhidmatan yang tidak dilaksanakan pada 2024.

Sebahagian besar kerugian itu – empat kali ganda lebih banyak daripada 2023 – disebabkan penutupan perniagaan secara mengejut dan syarikat tidak dapat dihibungi selepas pengguna membuat pembayaran, kata Persatuan Pengguna Singapura (Case) pada 6 Februari.

Sebahagian besar kerugian, sekitar $728,000, melibatkan industri ubah elok rumah, lapor The Straits Times.

Dalam kes berkenaan, kontraktor lesap semasa proses ubah elok rumah, menyebabkan pengguna terpaksa mencari kontraktor alternatif untuk menyiapkan kerja.

Kerugian kedua tertinggi, sekitar $284,000, melibatkan industri berkaitan perkhidmatan pengantin, kebanyakannya disebabkan penutupan mengejut syarikat Love Nest di City Gate dan entiti berkaitannya, L’atelier, dan Love Story Wedding Boutique.

Pengguna juga kerugian kira-kira $134,000 berurusan dengan industri pindah rumah, sebahagiannya disebabkan penghantaran besar yang tidak dibuat atau kehilangan barang semasa pemindahan.

Presiden Case, Encik Melvin Yong, berkata pihaknya bimbang dengan peningkatan mendadak dalam kerugian melibatkan pembayaran awal, terutamanya dalam sektor ubah suai rumah.

Daripada 962 aduan yang diterima, sekitar 97 peratus melibatkan kontraktor tidak bertauliah CaseTrust, kata Case lagi.

Semua aduan melibatkan kontraktor bertauliah berjaya diselesaikan, tambahnya.

“Pengguna dinasihati supaya berurusan dengan syarikat bertauliah CaseTrust, lebih-lebih lagi melibatkan deposit tinggi kerana syarikat sedemikian membeli insurans untuk melindungi kepentingan anda,” kata Encik Yong.

Beliau menambah bahawa Case akan mengumumkan peningkatan kepada CaseTrust untuk menawarkan lebih banyak pilihan dan jaminan kepada pengguna.

Case kini mempunyai lebih 140 kontraktor ubah suai bertauliah.

Selain melindungi deposit sekiranya kontraktor gulung tikar, syarikat yang diiktiraf juga mematuhi Kontrak Pengubahsuaian Standard CaseTrust, yang menetapkan kewajipan kedua-dua pihak, termasuk jadual kerja dan pembayaran.

Menurut Case lagi, sektor permotoran menyaksikan jumlah aduan tertinggi diikuti industri kecantikan, ubah elok dan hiburan.

Industri yang sama mendahului senarai pada 2023 dan memperoleh 1,306 aduan pada 2024.

Kira-kira 35 peratus aduan terhadap industri automotif berkaitan perkongsian kereta dan sewa kereta – naik daripada 33 peratus pada 2023. Case berkata ia telah membentuk jawatankuasa kerja untuk menangani isu berkaitan perkongsian kereta.

Sektor makanan dan minuman (F&B) menyaksikan aduan meningkat 24 peratus, kebanyakannya berkaitan pembatalan lesen firma katering Sakura Buffet, yang mengakibatkan pesanan pengguna tidak dipenuhi.

Aduan terhadap sektor telekomunikasi meningkat 34 peratus, dengan aduan tertumpu kepada sambungan lemah, kelewatan pemasangan perkhidmatan jalur lebar dan caj tinggi dalam bil mereka.

“Aduan e-dagang telah mencapai paras tertinggi sepanjang masa, melebihi kemuncak 2020 yang disebabkan oleh pandemik Covid-19,” kata Encik Yong.

Case menyatakan ia menerima 4,641 aduan e-dagang pada 2024 – naik 25 peratus daripada 3,711 aduan pada 2023.

Kira-kira 13 peratus aduan berkaitan industri hiburan dan sembilan peratus industri F&B.

Menurut Encik Yong, kenaikan itu mencerminkan peningkatan kegiatan e-dagang, sambil menambah bahawa Case bekerjasama dengan dua platform e-dagang terbesar di Singapura, Shopee dan Lazada, untuk menyediakan rangka kerja penyelesaian pertikaian berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg