Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna StarHub hadapi isu log masuk pada 20 Jan, ada adu tak dapat tonton EPL

Jan 21, 2024 | 4:07 PM
GANGGUAN PERKHIDMATAN: Beberapa pengguna StarHub telah mengadu di media sosial berkenaan isu log masuk pada lewat 20 Januari yang menghalang mereka daripada mengakses perkhidmatan TV syarikat telekomunikasi itu.
GANGGUAN PERKHIDMATAN: Beberapa pengguna StarHub telah mengadu di media sosial berkenaan isu log masuk pada lewat 20 Januari yang menghalang mereka daripada mengakses perkhidmatan TV syarikat telekomunikasi itu. - Foto STARHUB

Beberapa pengguna StarHub telah mengadu di media sosial berkenaan isu log masuk pada lewat 20 Januari yang menghalang mereka daripada mengakses perkhidmatan televisyen syarikat telekomunikasi itu.

Bercakap kepada The Straits Times (ST), beberapa pengguna berkata bahawa insiden itu turut menghalang mereka daripada menonton perlawanan Liga Perdana England (EPL), kerana mereka tidak dapat mengakses sebarang perkhidmatan.

Dua perlawanan EPL yang dijadualkan semasa tempoh gangguan tersebut adalah antara Arsenal menentang Crystal Palace pada 8.30 malam serta Brentford lawan Nottingham Forest pada 1.30 pagi pada 21 Januari.

Seorang pengguna StarHub yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lim, memberitahu ST bahawa pada 12.12 pagi pada 21 Januari, beliau telah menghubungi talian hotline StarHub untuk mendapatkan bantuan kerana suaminya mengalami masalah log masuk untuk menonton siaran EPL.

“Kami cuba menukar kata laluan kami tetapi pautan untuk berbuat demikian tidak berfungsi. Saya menunggu sekurang-kurangnya 20 minit untuk mendapatkan bantuan teknikal.

“Kemudian, apabila saya akhirnya berjaya, saya diberitahu ada masalah keseluruhan. Jadi kami tidak mahu bersusah payah untuk mencuba lagi selepas kami diberitahu ia adalah isu keseluruhan,” kata Cik Lim.

Cik Lim menambah bahawa beliau telah bertanya kepada wakil StarHub jika pelanggan EPL akan diberi pampasan, tetapi wakil tersebut berkata beliau tidak dapat memberikan jawapan.

Beberapa pengguna StarHub kemudian berkata mereka akhirnya diberitahu oleh wakil StarHub bahawa terdapat masalah dengan pelayan atau server.

Sebelum itu, mereka telah mencuba beberapa kali untuk membetulkan isu log masuk mereka dengan menghidupkan semula peranti dan log masuk semula seperti yang diarahkan oleh syarikat telekomunikasi tersebut.

Semasa menjawab pertanyaan ST, StarHub berkata “sesetengah pengguna menghadapi isu log masuk sekejap-sekejap” dan pasukannya telah “memberi bantuan segera”.

“Tiada gangguan pada perlawanan Liga Perdana malam tadi,” kata syarikat telekomunikasi itu, sambil menambah bahawa “jika terdapat isu rangkaian yang dijangkakan atau penyelenggaraan berjadual, kami akan memaklumkan pengguna kami terlebih dahulu”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg