Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenggunaan AI dalam perniagaan meningkat; ekonomi digital sumbang lebih tinggi kepada GDP
Penggunaan AI dalam perniagaan meningkat; ekonomi digital sumbang lebih tinggi kepada GDP
Laporan IMDA: Lebih satu daripada lima perniagaan di sini manfaatkan AI pada 2025
Penggunaan AI dalam perniagaan meningkat; ekonomi digital sumbang lebih tinggi kepada GDP
Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam semua perusahaan di Singapura telah meningkat, dengan lebih satu daripada lima perniagaan di sini menggunakan teknologi itu pada 2025.
Pada masa sama, ekonomi digital negara ini berkembang kepada lebih $144 bilion dan menyumbang bahagian yang lebih besar kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).
Seiring dengan itu, pekerjaan dalam sektor teknologi meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada 222,200 pada 2025, berbanding 214,000 pada 2024.
Peranan paling pesat berkembang ialah dalam bidang AI, data dan keselamatan siber, demikian menurut angka terkini Laporan Ekonomi Digital Singapura.
Laporan yang dikeluarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 5 Oktober itu menunjukkan penggunaan AI dalam semua perusahaan meningkat daripada 14.7 peratus pada 2024 kepada 23.5 peratus pada 2025.
Khususnya, penggunaan AI dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana (SME) meningkat daripada 14.5 peratus kepada 23.4 peratus, manakala penggunaan dalam kalangan perniagaan lebih besar melonjak daripada 62.5 peratus kepada 70.4 peratus dalam tempoh sama.
Ini berlaku sedang ekonomi digital Singapura berkembang daripada $136.5 bilion pada 2024 kepada $144.1 bilion pada 2025, dengan sumbangannya kepada GDP negara meningkat daripada 18.8 peratus kepada 19.3 peratus tahun ke tahun.
IMDA menyatakan pertumbuhan ekonomi digital yang stabil itu “mencerminkan bahawa teknologi digital terus membentuk cara semua perusahaan dalam pelbagai industri beroperasi, dan cara pekerja menjalankan tugas mereka”.
Laporan itu mengambil kira ekonomi digital berdasarkan dua komponen.
Yang pertama ialah nilai tambah atau sumbangan ekonomi sektor infokomunikasi yang merangkumi perkhidmatan digital yang biasanya dikaitkan dengan industri teknologi seperti telekomunikasi, pengkomputeran dan perisian.
Yang kedua ialah nilai tambah yang diperoleh industri bukan teknologi apabila mereka menggunakan teknologi dan penyelesaian digital.
Industri bukan teknologi menyumbang bahagian terbesar dalam ekonomi digital Singapura, dengan pertumbuhan 3.6 peratus kepada $97 bilion pada 2025 berbanding setahun lalu.
Sektor teknologi berkembang 6.1 peratus kepada $47.1 bilion dalam tempoh sama.
IMDA menambah bahawa permintaan terhadap bakat teknologi tertumpu di luar industri teknologi. Pertumbuhan pekerjaan teknologi dipacu oleh sektor bukan teknologi sebanyak 5.3 peratus, berbanding 1.8 peratus dalam sektor teknologi.
Gaji bagi pekerjaan teknologi juga kekal tinggi. Pada 2025, gaji median bulanan pekerja teknologi ialah $8,000, iaitu 60 peratus lebih tinggi daripada median keseluruhan bagi semua pekerja sebanyak $5,000.
Pada 2024, gaji median pekerja teknologi dan semua pekerja masing-masing ialah $7,950 dan $4,860.
Tahap pendigitalan juga kekal tinggi, dengan 96.4 peratus daripada semua perniagaan telah menggunakan sekurang-kurangnya satu daripada enam bidang digital pada 2025, meningkat daripada 95.1 peratus pada 2024.
Keenam-enam bidang digital itu ialah keselamatan siber, teknologi awan, pembayaran elektronik, e-dagang, analitik data dan AI.
Lebih banyak perniagaan juga merancang menggunakan AI. Kadar perusahaan yang belum menggunakan AI namun merancang berbuat demikian dalam tempoh 12 bulan akan datang meningkat dua kali ganda daripada 5.6 peratus pada 2023 kepada 12.1 peratus pada 2025.
Bagi syarikat yang sudah menggunakan AI, dua daripada lima juga sedang beralih daripada peringkat percubaan kepada pelaksanaan yang lebih meluas dalam operasi mereka.
Manfaat terbesar yang disebut oleh perusahaan ialah peningkatan produktiviti dan proses, dengan hampir 88 peratus menyatakan demikian. Ini diikuti 44 peratus yang menyebut kos lebih rendah dan pengoptimuman sumber.