KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) mengeluarkan kenyataan pada Ahad (25 Oktober) yang memberi nasihat agar penggunaan dua vaksin influenza - SKYCellflu Quadrivalent dan Vaxigrip Tetra - dihentikan buat sementara waktu.

Langkah berjaga-jaga ini adalah menyusuli kes kematian yang dilaporkan di Korea Selatan selepas beberapa individu menjalani vaksinasi influenza.

Sungguhpun begitu, MOH menjelaskan tiada kes kematian bersangkutan dengan vaksinasi influenza ini dilaporkan di Singapura sejauh ini.

MOH dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sedang memantau situasi ini secara rapi.

HSA juga berhubung dengan pihak berkuasa Korea Selatan bagi mendapatkan maklumat lanjut sedang pihak berkenaan itu menjalankan siasatan bagi menentukan jika kematian itu berpunca daripada vaksinasi influenza.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan penguasa kesihatan Korea Selatan, tujuh jenama vaksin influenza telah diberikan kepada individu yang terbabit dalam kes kematian ini. Dari sejumlah tujuh jenama itu, dua daripadanya boleh diperolehi di Singapura.

Jenama yang dimaksudkan adalah SKYCellflu Quadrivalent yang dikeluarkan SK Bioscience dan diedar secara tempatan oleh Sanofi Aventis.

Sebagai langkah berjaga-jaga sedang HSA menilai implikasi kematian yang dilaporkan di Korea Selatan, MOH telah memberitahu kepada penyedia jagaan kesihatan dan pengamal perubatan agar menghentikan secara sementara penggunaan dua vaksin berkenaan.

Penyedia jagaan kesihatan dan pengamal perubatan boleh terus menggunakan dua lagi vaksin influenza yang diedarkan ke Singapura bagi musim influenza Hemisfera Utara 2020/21.

MOH dan HSA akan menilai situasi ini apabila lebih banyak maklumat diperolehi. Kedua-dua pihak juga akan memberi nasihat selanjutnya mengenai vaksin yang terjejas.