Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggunaan produk nikotin alternatif kian meningkat di S’pura

Empat persatuan perdagangan rancang perluas kempen anti rokok elektronik kepada ruang digital
Nov 14, 2024 | 6:42 PM
Penggunaan produk alternatif yang mengandungi nikotin, khususnya rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, mencatatkan peningkatan dalam tempoh enam suku berturut-turut, menurut satu tinjauan oleh syarikat penyelidikan pasaran Milieu Insight.
Penggunaan produk alternatif yang mengandungi nikotin, khususnya rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, mencatatkan peningkatan dalam tempoh enam suku berturut-turut, menurut satu tinjauan oleh syarikat penyelidikan pasaran Milieu Insight. - Foto fail

Penggunaan produk alternatif yang mengandungi nikotin, khususnya rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, terus meningkat sedang purata bilangan puntung rokok yang dihisap perokok di Singapura mencatatkan penurunan, menurut satu tinjauan oleh syarikat penyelidikan pasaran Milieu Insight.

Berkongsi hasil tinjauan suku tahunan bagi suku kedua (Q2) 2024 – yang dijalankan ke atas 5,957 responden – kepada pihak media pada 14 November, ia mendapati bahawa kelaziman penggunaan rokok elektronik meningkat daripada 4.4 peratus pada Q1 2023 kepada 5.2 peratus pada Q2 2024.

Bagi produk tembakau yang dipanaskan pula, kelaziman penggunaan meningkat sedikit daripada 1.1 peratus pada Q1 2023 kepada 1.4 peratus pada Q2 2024.

Tinjauan itu turut mendapati bilangan purata puntung rokok yang dihisap perokok setiap minggu mencatatkan penurunan daripada 62 pada Q1 2023 kepada 55 pada Q2 2024.

Lebih membimbangkan adalah kegunaan rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan sedemikian lebih tinggi dalam kalangan golongan muda berusia antara 21-39 tahun, memandangkan tinjauan itu dijalankan ke atas warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas.

Berlatarbelakangkan hasil tinjauan ini, empat persatuan perdagangan telah memperluaskan kempen anti rokok elektronik kepada ruang digital bagi memerangi peredaran dan penggunaan haram produk sedemikian.

Empat persatuan itu – Persatuan Peniaga Bar dan Restoran Kopi Foochow, Persatuan Peniaga Restoran Kopi dan Pemilik Bar Kheng Keow, Persatuan Pasar Mini Singapura dan Persatuan Mesra Kedai Runcit Singapura – merangkumi 780 anggota seperti perniagaan kedai kopi di Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama pada 14 November, empat persatuan itu menyatakan kempen dalam talian itu bertujuan menangani maklumat palsu, meningkatkan kesedaran terhadap risiko kesihatan dan kepentingan membuat pilihan betul di sisi undang-undang mengenai penggunaan rokok elektronik.

Persatuan itu memulakan kempen tersebut pada Mac 2024 dengan memasang poster dan pelekat anti rokok elektronik di premis anggota.

Menyusuli pelancarannya, persatuan tersebut berkata ia ingin teruskan usaha agar ia “sejajar dengan usaha penguatkuasaan pemerintah” terhadap pengguna dan pengedar produk rokok elektronik haram.

“Persatuan perdagangan ingin membawa kempen ini secara dalam talian untuk meningkatkan jangkauan kepada pelajar dan belia, dengan peluang jangkauan lebih tinggi secara dalam talian berbanding melalui kedai fizikal,” jelas kenyataan itu.

Pengerusi Persatuan Peniaga Bar dan Restoran Kopi Foochow, Encik Hong Poh Hin, berkata:

“Penggunaan rokok elektronik dalam kalangan orang muda memerlukan respon segera dan diselaraskan oleh semua segmen masyarakat.

“Dengan memanfaatkan penglibatan digital, kami tingkatkan jangkauan untuk mengekang penggunaan rokok elektronik, terutama dalam kalangan orang muda di Singapura.”

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Disember 2023 mengumumkan bahawa mereka sedang meningkatkan usaha penguatkuasaan dan pendidikan terhadap rokok elektronik agar ia tidak mudah bertapak di Singapura.

Sekitar 5,480 individu telah ditangkap kerana memiliki atau menggunakan rokok elektronik di Singapura pada separuh pertama 2024, kata MOH dan HSA dalam satu kenyataan bersama pada 1 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg