MENYATUKAN semangat mereka sebagai penghantar makanan Foodpanda dan minat menunggang basikal, Encik Muhammad Farhan Mohamad Hamdi, Encik Nur Affandi Rostam dan Encik Lim Cheng Hwee mendapat ilham untuk menyumbang kepada masyarakat dan membantu golongan memerlukan.

Dipandu oleh ungkapan semangat mereka Cycle Give Love (berbasikal memberi kasih sayang) trio itu, yang mahu dikenali sebagai Loveist Panda, memutuskan berbasikal untuk amal melalui acara Ride for Rainbows (Tunggang bagi Rainbows) yang dianjurkan oleh Club Rainbow.

Dalam acara itu, Loveist Panda akan menunggang sejauh satu kilometer bagi setiap $10 yang disumbang kepada pasukan mereka untuk didermakan kepada Club Rainbow.

Dalam satu panggilan video bersama Berita Harian, Loveist Panda berkata mereka berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai dan sokongan bagi kanak-kanak yang menderita pelbagai penyakit kronik serta keluarga mereka, yang disokong Club Rainbow.

Encik Farhan berkata meskipun Covid-19 menjejaskan kehidupan orang ramai, golongan kurang upaya paling terjejas dan memerlukan lebih banyak bantuan untuk terus bertahan dalam tempoh ini.

"Bagi Club Rainbow, benefisiari mereka bukan keluarga berpendapatan rendah sahaja, malah keluarga mempunyai anak kurang upaya.

"Bagi saya, mereka paling terjejas disebabkan pandemik ini. Meskipun kita juga terjejas dalam tempoh ini, sekurang-kurangnya kita masih dapat keluar berbasikal untuk terus bekerja dan mendapatkan pendapatan setiap hari.

"Jadi ini adalah sebahagian usaha kami untuk menyumbang kepada usaha yang dapat membantu mereka yang terjejas lebih teruk daripada kami," kata Encik Farhan, 31 tahun, yang merupakan ketua kumpulan Loveist Panda dan sudah bekerja sebagai penghantar makanan bersama Foodpanda selama dua tahun.

Menurut mereka, sumbangan melalui Ride for Rainbows akan membantu dalam menyediakan habuan makanan, sokongan pendidikan dan terapi intervensi untuk menangani pelbagai keperluan perkembangan kanak-kanak di Club Rainbow.

Ini bukan kali pertama Loveist Panda, yang dibentuk hampir dua tahun lalu, melakukan kerja kemasyarakatan.

Menurut Encik Affandi, 26 tahun, mereka sebenarnya melakukan kerja kebajikan setiap suku tahun.

Antara insiatif yang dijalankan mereka sebelum ini ialah mengagih 500 bungkus nasi ayam kepada penduduk di Beach Road sempena Hari Kebangsaan dan mengagih nasi lemak kepada penduduk yang tinggal di flat sewa satu bilik di Pipit Road awal tahun ini.

Namun, demi menjaga keselamatan mereka dan orang ramai dengan mengurangkan kontak, mereka memilih menyertai Ride for Rainbows, ujar Encik Affandi, yang sudah bekerja bersama Foodpanda selama satu setengah tahun.

"Dengan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat, kami tidak dapat melakukan pengagihan makanan yang kami sering lakukan.

"Ini adalah salah satu cara baru yang kumpulan kami sedang cuba untuk menyumbang kepada masyarakat secara selamat," jelas beliau.

Dengan menggunakan wadah media sosial dan sebaran daripada mulut ke mulut dalam kalangan penghantar makanan Foodpanda, kumpulan itu mendapatkan derma bagi acara itu.

Mereka bersyukur dengan sokongan daripada orang ramai dan kenalan.

"Sebenarnya, kami tidak mempunyai sasaran tinggi jumlah yang ingin kami kumpul kerana kami tidak pernah melakukan secara ini sebelum ini.

"Jadi pada awalnya, kami berharap dalam mengumpulkan sumbangan minimum $300.

"Tetapi setelah lebih ramai orang mendapat tahu mengenai usaha ini, kita berharap dapat mencapai lebih $1,000 sepanjang beberapa hari akan datang," kata Encik Farhan, sambil berkongsi bahawa hingga kelmarin, mereka telah mengumpul $785.

Pengumpulan dana bagi acara itu secara rasmi berakhir bulan depan, tetapi kegiatan menunggang basikal itu berakhir bulan ini.

Loveist Panda harus menunggang basikal sejauh 68 kilometer berdasarkan sumbangan $680 yang mereka dapat kumpulkan hingga 26 September.

Melalui penyertaan mereka dalam inisiatif seperti ini, Loveist Panda juga berharap dapat mendorong orang ramai dan penghantar makanan lain menyumbang kepada golongan memerlukan melalui cara yang dimampui mereka.

"Mungkin pada masa akan datang, kami semua, penghantar makanan tidak kira daripada syarikat mana, dapat berkumpul dan bersatu untuk menjalankan insiatif bantuan baru bagi golongan memerlukan.

"Ini bukan kali terakhir bagi kami melakukan kerja kemasyarakatan. Malah, ia adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang," kata Encik Farhan.

Mereka yang ingin menyumbang kepada acara Ride for Rainbows boleh melungsuri laman https://www.rideforrainbows.org/team!G0053TP

Mungkin pada masa akan datang, kami semua, penghantar makanan tidak kira daripada syarikat mana, dapat berkumpul dan bersatu untuk menjalankan insiatif bantuan baru bagi golongan memerlukan. Ini bukan kali terakhir bagi kami melakukan kerja kemasyarakatan. Malah, ia adalah permulaan untuk sesuatu yang lebih besar pada masa akan datang. - Encik Muhammad Farhan Mohamad Hamdi, ketua kumpulan Loveist Panda.

Anda ingin sumbang kepada acara Ride for Rainbows? Lungsuri laman https://www.rideforrainbows.org/team!G0053TP

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti