Sidang parlimen pada Khamis adalah yang terakhir bagi Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Tharman Shanmugaratnam, dan sembilan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).
Dalam ucapannya di penghujung persidangan, Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, meluahkan penghargaan kepada sembilan NMP itu dan Encik Tharman di atas sumbangan mereka kepada Dewan dan khidmat mereka kepada negara.
Encik Tharman telah mengumumkan yang beliau akan meletak jawatan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan mengundur diri daripada jawatan Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial pada 7 Julai.
Beliau juga telah mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang.
“SM Tharman telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen selama lebih dua dekad sejak 2001. Dalam tempoh itu, beliau telah membuat banyak sumbangan melalui jawatan menteri yang berbeza-beza,” kata Cik Indranee.
Sembilan NMP itu pula ialah Dr Shahira Abdullah, Encik Abdul Samad Abdul Wahab, Cik Janet Ang, Encik Mark Chay, Encik Cheng Hsing Yao, Profesor Koh Lian Pin, Encik Joshua Thomas Raj, Dr Tan Yia Swam dan Profesor Hoon Hian Teck.
Skim NMP diperkenalkan pada 1990 untuk memastikan perwakilan pandangan yang luas dalam Parlimen. Setiap penggal boleh mempunyai sehingga sembilan NMP, yang berkhidmat untuk tempoh dua setengah tahun.
Cik Indranee berkata kohort NMP itu menyertai Parlimen di tengah-tengah pandemik global dan “mereka telah membentangkan pandangan mereka dengan penuh semangat dan menyumbang secara konstruktif kepada perbahasan yang mantap di dewan ini sepanjang dua tahun lalu”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg