Luqman (bukan nama sebenar) meluangkan lebih setahun setengah berlatih untuk persembahan gamelan sempena satu program bimbingan muzik yang menggabungkan 20 pelatih dari Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) bersama 10 mentor dari sebuah kumpulan seni yang pakar dalam persembahan tradisional dan moden melalui orkestra Nusantara.
Dinamakan Symphony of Friendship, persembahan konsert di bawah program ArtSee itu berlangsung pada 13 Disember lalu dan merupakan hasil kolaborasi antara RKM dengan Kumpulan Seni Djoko Mangkrengg (DMPA) dan dibiayai oleh sumbangan Cabaran Presiden 2023.
Dengan pengalaman mengadakan persembahan untuk acara-acara berprestij seperti Penghormatan Bersama Pertubuhan Melayu/Islam bagi mantan presiden Puan Halimah Yacob pada Oktober 2023, konsert ini bukan sahaja mempamerkan bakat orang muda, tetapi juga turut memeriahkan sambutan ulang tahun ke-35 RKM.
“Setiap kali saya menari atau bermain alat muzik, saya lupa tentang perkara yang membimbangkan saya.
“Lebih penting sekali, saya rasa lebih bahagia,” katanya, yang antara pemain Gong dan Kulintang dalam persembahan yang berlangsung selama dua jam tersebut.
Luqman yang merupakan pelajar menengah tiga, dan bercita-cita menjadi pramugara, telah dimasukkan ke RKM sejak Julai 2023 atas sebab keselamatan menyusuli tingkah laku agresif datuknya yang menghidap demensia.
Semasa ditemu bual wartawan Berita Harian (BH) sebelum persembahannya di Sekolah Seni Singapura (SOTA), Luqman turut berkongsi bahawa minatnya terhadap seni Melayu bermula dari pengaruh ibunya, yang juga seorang penari Melayu.
“Ibu saya sering berkongsi pengalamannya sebagai seorang penari, dan saya secara semula jadi tertarik dengan bidang seni Melayu.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, yang hadir selaku tetamu terhormat di acara tersebut berkata:
“Program bimbingan muzik ArtSee ini adalah bukti kuat terhadap misi RKM dalam pembangunan golongan belia.
“Dengan menanamkan nilai kesabaran, disiplin, dan semangat berpasukan, program ini memberi belia-belia ini kemahiran yang mereka perlukan untuk mengharungi cabaran hidup dengan penuh keyakinan,” ujar beliau.
Ibu Luqman, Cik Hayati Mawar, 38 tahun, turut hadir bersama 370 tetamu lain di konsert tersebut.
Beliau kelihatan tersenyum bangga menyaksikan persembahan anaknya.
“Saya lihat anak saya membesar semasa beliau sertai program ini.
“Sebagai abang sulung daripada tiga beradik, beliau kini lebih tenang dan berdisiplin. Dengan kasih sayang dan sokongan keluarga, saya percaya beliau akan menjadi pengaruh yang baik kepada adik-adiknya,” kata ibu tiga anak itu yang bekerja sebagai guru pusat jagaan kanak-kanak.
RKM yang berpindah ke 101 Pasir Ris Road dari Bedok North Street 3 pada Jun 2021, kini menjaga 41 penghuni berusia antara lapan tahun dengan 20 tahun.
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, menyatakan bahawa kehadiran penghuni RKM di kawasan Pasir Ris telah memberi impak besar kepada masyarakat di mana mereka telah menyumbang sebagai sukarelawan melalui inisiatif seperti pengagihan buku teks dan pembersihan pantai.
“Keyakinan yang semakin bertambah dalam diri para belia ini memberi saya keyakinan bahawa mereka akan mencapai apa yang mereka inginkan.
“Saya menantikan masa apabila mereka raih kejayaan dan dapat memberi impak positif kepada masyarakat pada masa hadapan,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg