Walaupun Nadia (bukan nama sebenar) jarang bertemu bapanya yang sering keluar masuk penjara, dia menemui ketenangan dengan menulis lagu dalam jurnal bagi meluahkan perasaannya.
“Melalui lagu-lagu saya, saya mahu menunjukkan betapa saya merinduinya dan berharap kami dapat bertemu semula,” kongsi remaja berusia 16 tahun itu.
Selepas bapanya dipenjarakan, Nadia ditempatkan di sebuah rumah kanak-kanak perempuan di bawah Perintah Penjagaan dan Perlindungan. Di sana, dia kini mengisi hari-harinya dengan memberi fokus pada pelajaran dan mengejar impiannya.
Perintah jagaan itu dibuat disebabkan oleh susunan penjagaan yang tidak stabil.
Namun, di sebalik cabaran ini, Nadia berjaya cemerlang dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ 2025 – memperoleh tiga A dalam Matematik, Sains, dan Bahasa Ibunda, serta C dalam Bahasa Inggeris.
Berkat keputusan yang baik ini, Nadia diterima lebih awal ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan akan memulakan pengajian tinggi pada 2026.
Dia mendedikasikan kejayaannya kepada keluarga, terutamanya ibu tirinya.
Kehidupan dalam persekitaran yang berstruktur dan saling menyokong membantu Nadia kekal berdisiplin.
“Apabila saya pergi ke sekolah, ada guru yang penyabar dan tidak pernah putus asa dengan kami,” katanya.
Rumah kanak-kanak itu menawarkan program peringkat ‘N’ kelas kecil mengikut kurikulum Kementerian Pendidikan (MOE), membolehkan Nadia menerima bimbingan yang lebih fokus.
Selain itu, dia berpeluang belajar bersama rakan sebiliknya, yang kebanyakannya dari aliran ekspres, dan sering meminta kertas latihan tambahan untuk mempersiapkan diri dengan teliti menghadapi peperiksaan.
Selain akademik, Nadia aktif dalam kelab koir dan penulisan lagu di rumah kanak-kanak itu, memberikannya ruang untuk meluahkan emosi.
Dia gemar menulis lagu untuk bapanya, merakam kenangan zaman kanak-kanak dan harapan dapat hidup bersama semula.
“Saya paling ingat ketika ayah keluar dari penjara... ketika itu saya berusia 12 tahun. Saya memproses setiap kenangan satu persatu dalam lagu-lagu saya,” jelasnya.
Penulisan lagu ini juga membantunya mengatasi kesepian dan merenung perjalanan hidupnya.
Aspirasi Nadia untuk menjadi seorang pramugari terbentuk daripada pengalaman kanak-kanak bersama ibu tirinya, yang sering membawanya melancong ke Indonesia, dan kebaikan seorang pramugari yang pernah menenangkannya ketika dalam penerbangan.
Walaupun menghadapi cabaran peribadi, Nadia kekal bermotivasi. Dia berharap dapat menyatukan semula keluarganya di Singapura, membantu pendidikan adik tirinya, dan berkongsi detik-detik istimewa dengan ibu tirinya.
“Kami tidak mempunyai pertalian darah, tetapi dia sentiasa ada untuk saya. Setiap kali saya menghadapi masalah, saya akan mengadu kepadanya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg