SYARIKAT pengimport buah-buahan dan sayur-sayuran, produk makanan diproses dan peralatan makanan, Reliable Transport & Logistic Services, dikenakan denda $20,000 oleh mahkamah pada Rabu (27 Oktober) kerana mengimport aneka produk makanan secara haram dari Indonesia.
Pengarah syarikat itu, Hardinizam Khairuddin Muhammad, turut dikenakan denda $15,000 kerana gagal melaksanakan penilaian wajar untuk mengelakkan kesalahan daripada berlaku, kata Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.
Kesalahan itu dikesan pada 21 Oktober tahun lalu apabila pegawai ICA di Pusat Pengendalian Kargo Udara Changi, Komand Kargo Udara, mengesan "produk daging tidak diketahui" yang dikirimkan secara konsainan.
Barangan itu telah diimport Reliable Transport & Logistic Services dari Indonesia tanpa permit import yang sah, dengan kes itu dirujuk kepada SFA bagi siasatan.
Siasatan mendedahkan syarikat itu telah mengimport sekitar 735 kilogram (kg) produk daging dan makanan laut, 10kg buah-buahan dan sayur-sayuran dan 503kg produk makanan diproses dari Indonesia secara haram.
Barangan tersebut telah dirampas.
SFA dan ICA dalam kenyataan mereka berkata makanan yang diimport ke Singapura mesti memenuhi syarat SFA dan makanan hanya boleh diimport oleh pengimport berlesen.
Setiap barangan yang dikirimkan secara konsainmen juga mesti diisytiharkan dan disertakan dengan permit import yang sah.
"Produk makanan yang diimport secara haram datang dari sumber tidak diketahui dan boleh menimbulkan risiko keselamatan makanan.
"Di samping itu, daging dan produk daging hanya boleh diimport daripada sumber yang diberi akreditasi di negara diluluskan yang mematuhi piawaian dan syarat keselamatan makanan Singapura," kata mereka.
Pesalah yang mengimport produk daging secara haram dari sumber tidak diluluskan boleh dikenakan denda $50,000 dan/atau hukuman penjara sehingga dua tahun.
Bagi kes kesalahan yang berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga $100,000 dan/atau hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Pesalah yang mengimport secara haram buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa permit pula boleh dikenakan denda sehingga $10,000 dan/atau hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Di samping itu, pesalah yang mengimport makanan diproses secara haram boleh dikenakan denda sehingga $1,000. Bagi kesalahan yang berikutnya, individu boleh dikenakan denda sehingga $2,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg