Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penglibatan lebih ramai belia tingkat mutu, kreativiti Bulan Bahasa @ Keat Hong

Sep 14, 2024 | 8:16 PM
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (tiga dari kanan), pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa bersama pemenang-pemenang Petah Spontan 2.0 dari Sekolah Rendah Sengkang Green di acara Bulan Bahasa @ Keat Hong.
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (tiga dari kanan), pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa bersama pemenang-pemenang Petah Spontan 2.0 dari Sekolah Rendah Sengkang Green di acara Bulan Bahasa @ Keat Hong. - Foto BM oleh KHALID BABA

Lebih ramai belia daripada pertubuhan dan persatuan berbeza terlibat dan menyertai sama kegiatan acara Bulan Bahasa @ Keat Hong 2024, kata Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Berkata demikian semasa acara Bulan Bahasa @ Keat Hong pada 14 September, di Kelab Masyarakat Keat Hong, Encik Zhulkarnain yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang berkata beliau dapat melihat lebih banyak inisiatif dan idea yang dipacu para belia sempena acara itu yang masuk tahun ke-11.

Beliau juga melahirkan rasa bangga dengan penglibatan belia yang telah maju ke hadapan untuk libatkan diri, dan memikirkan inisiatif serta program yang mereka ingin lakarkan.

“Tahun ini kita lihat lebih ramai penglibatan belia dari pertubuhan, akar umbi, serta pertubuhan seni.

“Mereka sumbang idea kreatif dan inovatif yang segar, seperti dikir barat dalam TikTok, konsep reruai yang kreatif seperti berpantun, dan lain-lain lagi,” ujar beliau.

Beliau menambah acara seperti itu akan pertingkat lagi usaha melestarikan bahasa ibunda.

“Kita dapat menerapkan penggunaan bahasa Melayu dan penghayatannya melalui seni dan acara pertandingan yang menarik minat mereka,” tambahnya.

Acara Bulan Bahasa @ Keat Hong mengetengahkan tiga acara utama, iaitu pertandingan silat, peraduan berpidato Petah Spontan 2.0 dan konsert Bulan Bahasa yang menampilkan beberapa artis setempat.

Peraduan Petah Spontan 2.0 berjaya ketengahkan bakat-bakat cilik yang pamerkan bakat berpidato dari 13 sekolah rendah dan 25 sekolah menengah serata Singapura.

Guru Bahasa Melayu dari Sekolah Rendah Sengkang Green, Cik Syazwani Hasrol, 27 tahun berkata beliau teruja melihat para pelajarnya merangkul tempat pertama, kedua dan ketiga dalam peraduan berpidato itu.

“Mereka telah berlatih, dan menunjukkan usaha gigih sebelum pertandingan dan saya bangga dengan pencapaian ini.

“Usaha seperti ini perlu digalakkan dan diteruskan supaya para pelajar dapat melihat bagaimana bahasa Melayu digunakan di luar bilik darjah, kerana pada masa sekarang mereka tidak banyak gunakan bahasa ibunda, dan itu menjejas minat mereka terhadap bahasa Melayu.”

Acara Bulan Bahasa @ Keat Hong kali ini padat dengan pelbagai acara – bermula dari 10 pagi hingga 10 malam.

Acara yang bertema ‘Semangat Kekampungan’ itu kali ini dijangka menarik sehingga 2,000 hadirin dan peserta.

Ia disokong Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), dan Lembaga Warisan Negara (NHB).

Tema ‘Semangat Kekampungan’ ketengahkan acara pertandingan silat yang menarik perhatian ramai peserta @Keat Hong
Tema ‘Semangat Kekampungan’ ketengahkan acara pertandingan silat yang menarik perhatian ramai peserta @Keat Hong - Foto BM oleh KHALID BABA

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Kelab Masyarakat Keat Hong (MAEC) Encik Imran Ahmad, berkata lebih 3,000 peserta hadir di Bulan Bahasa @ Keat Hong pada 2023 di mana kumpulan band Masdo dari Malaysia dijemput untuk menyerikan Konsert Bulan Bahasa.

“Pada tahun yang ke-11 ini, kami teruja melangkah ke dekad yang baru, dan mendekati masyarakat Melayu di Keat Hong, serta mempertingkatkan pemeliharaan dan penghayatan bahasa, budaya dan tradisi Melayu,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg