Membesar dalam keluarga ramai bersama enam adik-beradik, Encik Ashsyahid Hussin, 25 tahun, menyaksikan sendiri pengorbanan ibunya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak meskipun berdepan kekangan kewangan.

Pemergian bapanya pada 2023 turut menjadikan ibunya, seorang suri rumah, sumber dorongan terbesar buat beliau untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Usaha gigihnya ternyata berbaloi.

Kini, Encik Ashsyahid, yang bekerja sebagai jurutera perisian di Dell Technologies, berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian dalam Kecerdasan Buatan Gunaan (AI) di Institut Teknologi Singapura (SIT) dengan kepujian tertinggi, sekali gus muncul sebagai pelajar terbaik kohortnya.

Atas pencapaian tersebut, beliau bakal menerima Anugerah Pencapaian Akademik di majlis Anugerah MENDAKI 2026 pada 17 Oktober.

Anak keempat itu berkata, kejayaannya tidak terlepas daripada sokongan ibunya yang sentiasa memastikan keperluan pendidikan anak-anak dipenuhi walaupun keluarga mereka tidak hidup mewah.

“Ibu saya tidak pernah menjadikan keadaan kewangan keluarga sebagai alasan untuk tidak menghantar kami ke sekolah atau memberikan wang belanja.

“Sehingga hari ini, beliau sentiasa berada dalam fikiran saya dan menjadi pendorong untuk saya bangun setiap hari dan berusaha menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya,” katanya.

Menurut beliau, ibunya juga tidak pernah lupa mendoakan kejayaan anak-anaknya setiap pagi, selain sering mengingatkan mereka supaya menjaga solat.

Dorongan itu menjadi antara sebab beliau sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam pelajaran dan pekerjaan.

Menurut Encik Ashsyahid, minatnya terhadap AI mula berputik selepas tamat pengajian diploma dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Singapura (SP) pada 2021.

Ketika menunggu untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau berpeluang bekerjasama dengan seorang pensyarah dalam projek pemulihan warga emas yang menggunakan teknologi pengecaman wajah.

Pengalaman tersebut membuka matanya kepada potensi AI, yang pada mulanya kelihatan rumit tetapi sebenarnya berasaskan ilmu matematik dan pengaturcaraan.

Namun, perjalanan akademiknya tidak sentiasa mudah.

“Pada tahun pertama di SIT, saya pernah terlalu menumpukan perhatian kepada pelajaran sehingga mengalami keletihan melampau.

“Pengalaman itu menyedarkan saya akan pentingnya mengimbangi masa belajar dengan kegiatan sosial dan rehat,” tambahnya.

Selain cemerlang dalam akademik, beliau aktif memimpin kegiatan teknologi di SIT, termasuk menganjurkan satu pertandingan hackathon yang menarik penyertaan lebih 150 pelajar.

Beliau turut menyertai pertandingan inovasi anjuran Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Dell Technologies pada 2024, apabila pasukannya memenangi tempat pertama daripada 85 pasukan yang turut serta.

Pasukan itu mencadangkan sistem berasaskan AI yang dapat memberi amaran visual dan audio kepada pemandu apabila kenderaan kecemasan menghampiri, bagi membantu melancarkan perjalanan anggota penyelamat.

Bagi Encik Ashsyahid, teknologi bukan sekadar alat untuk meningkatkan kecekapan, bahkan mempunyai potensi untuk membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berharap dapat menyumbang kepada usaha meningkatkan celik AI dalam kalangan warga emas serta menjadikan teknologi lebih mudah diakses oleh golongan kurang upaya.

Mengenai pengiktirafan MENDAKI, beliau menyifatkannya sebagai peringatan bahawa usaha gigih seseorang tetap membawa makna walaupun tidak dilakukan semata-mata untuk memperoleh anugerah.